AKSB: Tunggakan bil air pengguna Kelantan RM33 juta
DUN KELANTAN | Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) merekodkan bil tunggakan air sejumlah RM33 juta sehingga Februari tahun ini disebabkan kegagalan pengguna membuat pembayaran.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor berkata ia membabitkan seramai 271,876 akaun pengguna AKSB.
"Jumlah tunggakan sehingga Februari lalu sebanyak RM33 juta dan angka tersebut sangat tinggi.
"Justeru, saya memohon mana-mana ahli dewan undangan negeri (Adun) yang turun padang supaya memaklumkan kepada rakyat untuk membayar bil air," katanya.
Azami menjawab soalan yang dikemukakan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, Rohani turut bertanya mengenai sejauh manakah perkembangan program penukaran paip Asbestos Cement AC yang berusia melebihi 35 tahun sepanjang 4,006 kilometer (km) dengan kos RM1 bilion bermula tahun 2018 hingga 2030, sedang berjalan.
Menjelaskan perkara itu, Azami (PAS-Kadok) berkata ukuran panjang paip berusia 35 hingga 40 tahun yang perlu ditukar itu melibatkan jarak sejauh 4,006 km
"Menerusi program pertukaran paip menerusi pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), bagi tahun 2018, kita menyiapkan 241 km untuk tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat.
“Pada 2019 pula, kita menyiapkan sepanjang 225 km membabitkan empat daerah iaitu Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang," katanya.
Tambahnya, pinjaman tersebut perlu dibayar dan salah satu punca hasil AKSB adalah apabila pelanggan membayar bil air.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai