Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Isu data peribadi bocor: MySejahtera ingatkan pada Neumera - Fahmi

Kaedah aplikasi MySejahtera mengumpul dan menyimpan data peribadi kira-kira 38 juta pengguna mengingatkan semula bagaimana Nuemera Sdn Bhd, yang terlibat dalam kes kebocoran data peribadi, melibatkan 46.2 juta pengguna.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata oleh faktor itulah dia bimbang sekiranya MySejahtera mampu menjadi “Neumera yang baru.”

“Aplikasi MySejahtera, jika anda lihat semula ketika penubuhannya, mana-mana pihak yang meluluskan KPISoft Sdn Bhd (kemudian dinamakan semula kepada Entomo Malaysia Sdn Bhd) untuk membangunkan aplikasi ini dan seterusnya memonopoli semua data sedia ada, terlalu banyak modus operandi yang mengingatkan saya kepada Nuemera,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya, sama seperti MySejahtera, Nuemera telah dianugerahkan untuk monopoli data daripada syarikat telekomunikasi pada 2014 yang memaksa syarikat berkenaan menyerahkan semua data pengguna mereka kepada Nuemera.

“Sama seperti sekarang, rakyat Malaysia sebenarnya tidak mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan MySejahtera dan isunya sama dengan (yang dipertikaikan pada) Nuemera, sama seperti masalah sedia ada dalam aplikasi MySejahtera - di manakah sebenarnya data kami semua disimpan?

“Dari segi skala, MySejahtera kini mengendalikan kira-kira 38 juta akaun pengguna. Nuemera mengendalikan 46.2 juta. Jadi kita bercakap tentang sejumlah data yang besar.

"Terlalu banyak persoalan, terlampau banyak benda yang mengingatkan saya tentang Nuemera," kata Fahmi.

Tiada penjelasan

Mengulas lanjut, Fahmi berkata sehingga hari ini, tiada sebarang penjelasan mengenai menteri mana yang telah menandatangani kelulusan berhubung monopoli data pengguna tersebut kepada Entomo.

Oleh itu, Adham Baba atau Muhyiddin Yassin yang masing-masing merupakan menteri kesihatan dan perdana menteri ketika aplikasi MySejahtera itu dibangunkan, mesti menjelaskan alasan di sebalik memilih Entomo untuk membangunkan aplikasi itu, katanya.

Pada 28 Mac, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa data yang dikumpul daripada aplikasi MySejahtera kekal selamat dengan kerajaan dan tidak pernah diberikan kepada sektor swasta.

Ramai rakyat Malaysia yang mungkin sedar akan meningkatnya penipuan menerusi panggilan telefon, atau scam, beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pemanggil memiliki maklumat peribadi anda, antaranya nombor MyKad.

Pada Oktober 2019, kerajaan telah menamatkan kontrak dengan Nuemera (M) Sdn Bhd, dan siasatan jenayah berhubung perkara itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Nuemera yang dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melindungi pengguna melalui sistemnya, pada 2017.

Bagaimanapun, pada 21 Okt 2019 Nuemera (M) Sdn Bhd mendakwa polis telah mendapati tiada bukti syarikat itu terlibat dalam kebocoran data paling besar di negara ini.

Nuemera bertindak balas terhadap jawapan bertulis parlimen bertarikh 14 Oktober 2019 di mana Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengatakan kontrak Nuemera telah ditamatkan berikutan kebocoran data itu.

Bagi siasatan jenayah pula, kementerian itu berkata JPDP telah menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 9 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Kata kementerian itu lagi, perkara itu juga disiasat mengikut seksyen 130 akta sama berkenaan pengumpulan data peribadi yang bercanggah dengan undang-undang serta Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 berkenaan "capaian tanpa kuasa (authority) dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan lanjut."

[Baca berita penuh]