Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis digesa siasat 'ejen pekerjaan' paksa rakyat Malaysia jadi 'scammer'

Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew menggesa pihak polis membuat siasatan secara menyeluruh berhubung dakwaan aktiviti sindiket menipu rakyat negara ini melalui ejen pekerjaan sebelum memaksa mereka melakukan penipuan secara dalam talian.

“Menurut laporan yang diterima, sindiket ini selain memaksa mangsa melakukan penipuan dalam talian bagi mendapatkan wang, mereka juga turut menuntut wang tebusan daripada mangsa jika ingin dibebaskan.

“Saya percaya bilangan sebenar rakyat Malaysia yang diculik di luar negara oleh sindiket ini jauh lebih besar daripada yang dilaporkan.

“Pihak Polis mesti menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kes-kes ini dan bekerjasama bersama agensi serupa di luar negara bagi menghadapkan penjenayah antarabangsa ini ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tan berkata pejabatnya turut menerima aduan sama dan membantu pengadu membuat laporan polis.

Jelasnya, pengadu Wong Choon Ling, beberapa hari lalu telah menerima panggilan daripada anaknya, Lai, yang kini berada di Kemboja dan memberitahu bahawa dia telah ditahan sindiket yang memaksa dia melakukan kerja-kerja penipuan dalam talian dan mesti membayar sejumlah RM 20,000 kepada mereka jika ingin pulang ke Malaysia.

Tan Yee Kew

Tan berkata, Lai yang menjadi mangsa sindiket berumur 37 tahun, mempunyai seorang isteri dan seorang anak lelaki yang masih kecil.

Katanya Lai pernah bekerja sebagai juruhebah di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur tetapi dia kehilangan pekerjaannya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Oktober lalu, dia bertemu dengan seorang ejen pekerjaan yang menawarkan jawatan sebagai kerani di Kemboja dengan gaji lumayan sebanyak RM 4000 sebulan.

"Memandangkan dia telah menganggur bagi tempoh yang lama, dia lantas menerima tawaran itu tanpa berfikir panjang dan berlepas ke Kemboja dua minggu kemudian," katanya lagi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berhubung perkara itu.

"Kita ada terima satu laporan polis berkaitan isu di atas.

"Setakat ini pihak polis sedang menjalankan siasatan dan kes masih belum diklasifikasi untuk seksyen yang tepat berkaitan laporan ini," katanya kepada Malaysiakini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa beberapa rakyat Malaysia dipercayai terkandas secara haram di Myanmar selepas ditipu ejen pencari pekerjaan di negara tersebut sejak Januari lalu.

Laporan itu memetik Adun Kulim,Yeo Keng Chuan sebagai berkata, perkara tersebut didedahkan salah seorang mangsa , Lim Sew Siam, 53, yang memohon bantuan kerajaan membawa pulang anak lelakinya yang terkandas di negara tersebut.

Menurutnya, Sew Siam memaklumkan anaknya, Ang Poon Guan, 27, sebelum ini memohon pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat di negara berkenaan, sebelum mendapati dia ditipu.

Sebaliknya, anak lelakinya dikatakan dipaksa menjadi ‘scammer operator’, selain tidak diberikan makanan dan masa tidur yang mencukupi, serta pergerakannya dikawal.

Sehubungan itu, tambahnya, mangsa ingin berhenti kerja dan pulang ke Malaysia, namun diugut dikenakan bayaran kira-kira RM40,000 jika ingin berbuat demikian.