Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saya tak pernah minta bantuan Najib untuk jadi ketua audit negara - Madinah

Madinah Mohamad menolak dakwaan bahawa dia berjumpa dengan perdana menteri ketika itu Najib Razak supaya dilantik sebagai ketua audit negara pada awal 2016.

Saksi pendakwaan ke-12 itu mengisytiharkan demikian semasa perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB, hari ini yang membabitkan Najib dan bekas CEO dan pelaburan negara itu, Arul Kanda Kandasamy.

Madinah membuat penafian itu ketika disoal balas oleh peguam bela utama bekas perdana menteri, Muhammad Shafee Abdullah semasa prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dia juga menafikan soalan Shafee bahawa dia bergantung pada lobi oleh arwah suaminya, timbalan pengerusi tetap Umno ketika itu Rizuan Abd Hamid, untuk dilantik sebagai ketua audit negara. Najib juga ketika itu adalah juga presiden Umno.

Pada 22 Feb 2017 semasa pelantikkanya itu, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) meluahkan kebimbangan mengenai kelayakan Madinah sebagai ketua audit negara yang baru.

Pengarah eksekutif badan bukan kerajaan (NGO) itu, Cynthia Gabriel berkata jawatan ketua audit negara memerlukan pengetahuan dan keupayaan khusus, kemahiran dan pengalaman praktikal dalam pengauditan, perakaunan dan pengurusan kewangan.

Sebelum pelantikan itu, Madinah adalah ketua setiausaha Kementerian Pendidikan dan mempunyai PhD dalam bidang sumber manusia. Dia juga pernah menjadi ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Madinah dan Rizuan dijangkiti wabak Covid-19 tahun lalu, dan suaminya meninggal dunia pada Mei tahun lalu.

Apabila Shafee membangkitkan isu kelayakannya hari ini, saksi itu berkata bahawa namanya telah dicadangkan oleh ketua audit negara ketika itu, Ambrin Buang pada 2016.

Madinah berkata, syor itu dibuat semasa perbualan santai antara Ambrin dan ketua setiausaha negara, ketika itu, Ali Hamsa.

Shafee: Kamu masih ingat bagi pelantikan seperti itu, perdana menteri mempunyai peranan (dalam menasihati Agong untuk pelantikan)?

Madinah: Saya setuju.

Shafee: Adakah kamu berjumpa dengan Najib dan memohon supaya diri kamu dipertimbangkan?

Madinah: Saya tidak pernah jumpa Najib Razak untuk meminta sebarang jawatan, sama ada semasa saya jadi ketua setiausaha atau ketika saya bersara.

Shafee: Kamu sedar atau tidak bahawa arwah suami kamu ada melobi supaya kamu jadi ketua audit negara?

Madinah: Apabila perbualan ini dibawa bersama suami saya, saya beritahunya bahawa dia tidak patut campur tangan dalam apa cara sekalipun, terutamanya semasa saya adalah ketua setiausaha di dua kementerian (Pendidikan dan Mosti).

“Dia seorang ahli perniagaan, dia bukannya cuba untuk menjalankan perniagaan dengan kedua-dua kementerian ini dan tidak melobi apa-apa daripada PM, kerana jika saya dilantik, ia mesti atas merit saya sendiri dan dia faham itu,” katanya.

Bagaimanapun, Madinah akur dengan dakwaan Shafee bahawa dia tidak pasti sama ada arwah suaminya pernah mencuba atau tidak cuba melobi bagi pihaknya.

Perbicaraan di hadapan Zaini bersambung petang ini.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan beberapa pindaan ke atas laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Tertuduh bersama Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesahan itu.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa keputusan untuk membuat pindaan diputuskan semasa mesyuarat pada 24 Feb 2016, di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa.

Adalah didakwa bahawa pindaan ini dilakukan untuk mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan isu kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) pada mesyuarat lembaga pengarah dana pelaburan negara itu.

Isu lain yang didakwa digugurkan daripada laporan audit 1MDB ialah dua penyata kewangan 2014 yang bercanggah bagi firma tersebut.

Selain Ali dan Arul Kanda, mereka yang hadir pada mesyuarat itu ialah Ambrin, bekas pegawai NAD, Saadatul Nafisah Ahmad Bashir, bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Salleh, dan wakil peguam negara ketika itu, Dzulkifli Ahmad.