Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelajar mahukan ilmu takkan aibkan pensyarah, kata anak Zahid

Seseorang pelajar tidak akan berkongsi ataupun mengaibkan mana-mana pensyarah sekiranya mereka benar-benar jujur ingin mendapatkan ilmu, kata Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Anak kepada Presiden Umno itu tampil pagi tadi untuk mempertahankan seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM)yang dirakam mengherdik seorang pelajar lelaki kerana masih tidak memiliki komputer riba meskipun memasuki semester kelima.

Menjadikan dirinya sebagai contoh, Nurulhidayah berkata, dia tidak pernah mengaibkan mana-mana pensyarah yang tidak disukainya.

"Kalau betul nak ilmu (seseorang itu) tak akan share (kongsi) atau aibkan pensyarah macam tu,” tulisnya dalam satu hantaran di laman sosialnya hari ini.

"Pendapat saya, prof tu marah sebab dah semester lima tiada laptop. Yer la orang susah tetapi sebagai pelajar, seharusnya bertanggungjawab juga dan letakkan perkara yang utama sebagai priority.

“Saya ni ada jugak pensyarah yang saya tak suka tapi tidaklah sampai nak aibkan pensyarah," katanya lagi.

Bagaimanapun Malaysiakini tidak dapat memastikan siapa yang yang bertanggungjawab menyebarkan klip tersebut.

Tambah Nurulhidayah sesuai dengan kedudukan sebagai pensyarah, mereka wajar berasa marah apabila pelajar mereka dirasakan tidak mengambil serius atau memandang mudah hal pembelajaran masing-masing.

Pernah pertikai kemiskinan haid

Terdahulu, tular video klip berdurasi 1 minit 45 saat memaparkan seorang pensyarah bertaraf profesor memarahi seorang mahasiwa kerana menggunakan telefon bimbit ketika sesi pembelajaran secara dalam talian.

Apabila ditanya pensyarah terbabit, pelajar berkenaan memberitahu bapanya tidak bekerja, manakala ibunya sudah meninggal dunia.

"Kau cakap dengan kakak kau, kalau dia ada gelang emas, pergi jual gelang emas, pergi beli komputer.

"Harga lapan ratus saja beli komputer. Apa masalah kau?

"Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40. Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran," kata pensyarah tersebut.

Tindakan pensyarah berkenaan mengundang kecaman netizen di media sosial.

Untukl rekod sebelum ini Nurulhidayah pernah menarik perhatian ramai apabila menganggap isu kemiskinan haid tidaklah serius di negara ini sehingga ada wanita tertentu perlu dibantu menguruskan isu tersebut.

“Saya sedar mengenainya (mengandung untuk mengelakkan datang bulan), tapi bukan di Malaysia. Mana ada pad (tuala wanita) harga kayangan pun.

"Saya mengkaji pad. Saya keluarkan jenama pad, jadi saya tahu. Jangan salah faham.

“Saya ketawa kerana tajuk berita itu. Apa kena-mengena pad dengan mengandung. Alahai…” katanya pada awal Nov tahun lalu.

Dalam hantaran hari ini, Nurulhidayah berpendapat, pensyarah berkenaan bukanlah menghina golongan B40, sebaliknya terlalu kecewa dengan sikap pelajar berkenaan.

"Realiti kehidupan lagi teruk. Habis kalau kau kena marah dengan bos nanti pun letak kat socmed (media sosial) ker macam mana? Kau rasa nanti majikan nak tak ambik pekerja macam tu? Sikit-sikit letak kat socmed.

"Ramai saja orang B40 yang berjaya. Ramai saja orang mak pak yang meninggal masa kecil, masa belajar dan berjaya. Dan ramai juga yang buat part time (kerja sambilan) untuk beli laptop.

“Ramai saja yang boleh bantu belikan laptop – NGO, wakil kerajaan, Adun, wakil rakyat. Hendak seribu daya. Itu maksud pensyarah tu sebenarnya,” katanya.

Sementara itu kira-kira sejam selepas memuat naik hantaran tersebut Nurulhidayah berkongsi sebuah gambar mengenai adab-adab untuk menuntut ilmu.

“Semoga kita ambil iktibar dgn apa yg berlaku.

“Dan semoga info grafik yang dikongsikan ini memberi sedikit gambaran dan panduan kepada kita semua. Inshaa Allah,” katanya.