Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Prabakaran mungkin cabar Tian Chua bagi jawatan ketua cabang Batu

Pemimpin PKR, Tian Chua yang mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden kemungkinan akan dicabar Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran bagi jawatan ketua cabang pada pemilihan parti itu akan datang.

Prabakaran yang juga Ketua Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan bagaimanapun berkata dia masih mempertimbangkan perkara itu.

“Memang ada cadangan daripada akar umbi di cabang Batu meminta saya bertanding bagi jawatan ketua cabang.

“Saya masih sedang mempertimbangkan sama ada untuk bertanding atau tidak.

“Apapun keputusan, saya akan umum dalam masa terdekat,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahad lalu, Tian berkata dia tidak berhasrat untuk mempertahankan jawatan naib presiden yang disandang sejak 2010.

Katanya, tidak semestinya dia perlu menduduki mana-mana jawatan tertinggi sekiranya ingin berkhidmat dan menyumbang kepada PKR.

Bagaimanapun, Tian mengesahkan akan mempertahankan jawatan sebagai ketua cabang Batu yang disandangnya sekarang.

Prabakaran sebelum ini mengumumkan untuk bertanding bagi jawatan exco AMK pusat pada pemilihan parti yang diadakan pada Mei ini.

Dia memenangi kerusi Parlimen Batu sebagai calon Bebas selepas menewaskan calon BN, PAS dan seorang lagi calon Bebas pada Pilihan Raya Umum 2018.

Pada PRU berkenaan, Tian tidak dapat mempertahankan kerusi tersebut selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan dia hilang kelayakan untuk bertanding.

Prabakaran kemudiannya memilih untuk menyertai PKR.