Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

UiTM akan bertindak ke atas pensyarah perlekeh B40

Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan mengambil tindakan terhadap seorang pensyarahnya yang tular mengherdik pelajar dipercayai semasa sesi pembelajaran dalam talian yang tidak mempunyai komputer dan memperlekehkan golongan B40.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Roziah Mohd Janor, pensyarah berkenaan telah dikenalpasti sebagai seorang pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar yang mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).

Katanya, pihak universiti sedang meneliti tindakan sewajarnya ekoran video tular itu, manakala pelajar berkenaan sudah dibantu dari segi peralatan.

"Saya difahamkan, insiden terbabit berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuat naik semalam.

"Bagaimanapun, tindakan akan diambil dan untuk pelajar itu kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba).

"[...] Tindakan akan diambil, tetapi saya tidak boleh jelaskan di sini. Dia adalah pensyarah kontrak dan ada laluan sebelum tindakan diambil.

"Semua pensyarah UiTM mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka dan saya harap orang ramai dapat bertimbang rasa terhadap staf dan pelajar saya," katanya selepas sebuah majlis di Shah Alam, seperti dipetik BH Online.

Terdahulu, satu rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat tular di media sosial, memaparkan pensyarah wanita itu mengherdik seorang pelajar selepas dia mengaku tidak mempunyai komputer dan hanya menggunakan telefon bimbit dalam sesi berkenaan.

Pensyarah itu turut meminta pelajar itu meminta kakaknya menjual gelang emas jika ada, supaya dapat membeli komputer untuk memudahkan proses pembelajaran.

“Hanya RM800 saja beli komputer. Apa masalah kau?

“Pasal itu aku tak boleh duduk orang dengan B40, dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran,” kata pensyarah itu dalam rakaman berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, UiTM mengesahkan telah meneliti isu tersebut dan mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.

“UiTM juga bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik UiTM dengan sengaja mahupun tidak,” kata UiTM dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan itu, Roziah dipetik berkata bahwa UiTM ada menyediakan pelbagai dana buat pelajar kurang berkemampuan, kerana memahami kekangan dan kesulitan dihadapi pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

Dia turut menyeru pelajar yang berdepan masalah untuk berhubung dengan pihak fakulti dan universiti bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.