Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam: Amaran PAS berhubung isu agama anak Loh menghina mahkamah

Amaran PAS berhubung tindakan undang-undang oleh Loh Siew Hong untuk membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral tiga anaknya adalah satu gangguan serius terhadap badan kehakiman, kata peguamnya.

Dalam kenyataan media hari ini, peguam dari firma guaman Srimurugan & Co melabelkan amaran parti politik kerajaan pusat itu sebagai menghina mahkamah.

Awal hari ini, beberapa portal berita memuatkan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, yang memberi amaran tidak boleh ada mana-mana pihak cuba atau bercadang menukar agama tiga anak berkenaan.

Pada Jumaat lalu, Loh memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan penukaran agama Islam tiga anaknya yang dilakukan oleh bekas suaminya, mualaf Muhammad Nagahswaran Muniandy.

Peguam yang mewakili Loh menggesa semua pihak supaya mengelak daripada membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu kerana ia boleh mencetuskan kebencian dan menimbulkan ketegangan di kalangan pelbagai kaum di Malaysia.

“Kami berpandangan bahawa sebarang bentuk ancaman, secara nyata atau tersirat, malah peringatan sekalipun, yang tidak menggalakkannya daripada meneruskan hak undang-undangnya di mahkamah, adalah sama dengan campur tangan serius terhadap pentadbiran kehakiman dan adalah satu penghinaan jenayah terhadap mahkamah.

"Kami mengecam sebarang bentuk ugutan, tekanan, atau kempen fitnah terhadap Puan Loh Siew Hong," kata peguamnya.

Peguamnya berkata walaupun mereka menghormati kebebasan bersuara dan bercakap setiap rakyat di negara ini, mereka menggesa tokoh agama supaya tidak lagi menerbitkan sebarang video atau membuat apa-apa komen yang berkaitan dengan kes itu atau menenatng Loh.

Peguamnya berkata ini kerana perkara itu sudahpun berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Kami berharap kes ini tidak dipolitikkan dan proses perundangan dibenarkan mengikut haluannya sendiri.

“Kami percaya kepada proses undang-undang dan kami meletakkan kepercayaan kepada badan kehakiman untuk menyelesaikan pertikaian antara semua pihak secara baik,” kata peguamnya.

Peguam Loh, Shamsher Singh Thind dilaporkan berkata bahawa semakan kehakiman itu susulan permohonan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) baru-baru ini yang memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam prosiding perceraian antara Loh dan Nagahswaran.

Maips memohon locus standi (asas perundangan) dalam prosiding itu agar ia dapat membuat permohonan variasi ke atas terma hak penjagaan tiga anak pasangan itu kepada Loh.

Sebelum ini, adalah dilaporkan majlis agama negeri itu memohon mendapat akses memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam kepada tiga anaknya, ketika di bawah jagaan ibu bukan beragama Islam tersebut.

Pada 21 Feb, Loh bertemu semula dengan tiga anaknya apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Permohonan habeas corpus itu menyasarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan seorang guru Islam yang menjaga kanak-kanak itu pada satu ketika.

Nagahswaran, yang dipenjarakan atas tuduhan berkaitan dadah, telah mengislamkan anak-anak berkenaan secara sepihak iaitu tanpa pengetahuan dan persetujuan Loh.

Ibu tunggal itu memperoleh hak penjagaan penuh anak-anak itu pada Disember tahun lalu.