Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Redakan marah rakyat Kelantan dengan diskaun bil air'

DUN KELANTAN | Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim menyarankan agar kerajaan Kelantan memberi potongan bil air sebanyak 50 peratus kepada pengguna yang mengalami masalah air di negeri itu.

Katanya, potongan itu bagi meredakan kemarahan rakyat negeri itu yang terkesan dengan masalah air yang melanda sejak beberapa tahun yang lalu.

Mengambil contoh di dewan undangan negeri (DUN) Galas, Gua Musang terdapat 3,000 keluarga termasuk 1,500 di bandar utama yang terkesan dengan masalah air sejak lebih setahun yang lalu.

"Masalah air di bandar Gua Musang kerana disebabkan kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Bukit Chupak. Saya ingat masalah air ini melanda penduduk di kawasan DUN Galas sahaja, namun daerah lain juga mempunyai masalah yang sama.

"Masalah air ini menjadi barah kepada kerajaan Kelantan dan bagi meredakan kemarahan rakyat, saya cadang kerajaan memberi diskaun bil air sebanyak 50 peratus.

"Tidak sepatutnya kerajaan negeri menerima musibah daripada kegagalan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membekalkan air kepada penduduk," katanya ketika ditemui selepas sesi persidangan DUN Kelantan ke-14 penggal kelima, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Mohd Syahbuddin mencadangkan potongan bil air sebanyak 50 peratus kepada rakyat yang mengalami masalah air menerusi perbahasan titah diraja sempena persidangan tersebut.

Justeru katanya, dia berharap potongan itu dapat dipertimbangkan oleh pimpiny kerajaan negeri.

"Masalah air yang dialami oleh pengguna menunjukkan kegagalan pihak AKSB dan isu ini tidak diselesaikan dengan baik.

"Potongan bil air itu juga sebagai tanda keadilan dan juga sebuah negeri yang berkebajikan," jelasnya.