Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Singapura tolak rayuan Nagaenthran, hukuman gantung kekal

Mahkamah Singapura pada Selasa menolak rayuan terhadap pelaksanaan hukuman mati membabitkan seorang warga Malaysia yang disabitkan dengan kesalahan penyeludupan dadah.

Mahkamah menolak hujah dikemukakan pasukan peguam bahawa Nagaenthran Dharmalingam harus dikecualikan daripada hukuman itu kerana mengalami masalah ketidakupayaan mental.

Nagaenthran 33, menunggu hukuman mati selama lebih sedekad atas kesalahan mengedar 42.72 gram heroin ke Singapura, salah sebuah negara paling tegas dalam undang-undang penyeludupan dadah, lapor Reuters.

Dia membuat rayuan atas alasan mengalami ketidakupayaan mental.

Dalam perbicaraan sebelum ini pihak peguam meminta masa agar penilaian psikiatri bebas dapat dijalankan ke atas Nagaenthran.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan bahawa Nagaenthran tahu apa yang dilakukan ketika melakukan jenayah itu.

Kes berkenaan sebelum ini menarik perhatian antarabangsa.

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob, sekumpulan pakar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan jutawan British Richard Branson antara mereka yang meminta Singapura meringankan hukuman terhadap Nagaenthran.