Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Agensi gesa pekerja Bangladesh diterima dalam sektor domestik

Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) menggesa kerajaan turut membuka sektor domestik untuk pekerja asing dari Bangladesh.

Desakan itu dibuat ketika majikan di negara ini terus menunggu ketibaan pekerja asing dari 14 negara.

Menurut Setiausaha Agung Papsma Dr Sukumaran Nair, gesaan tersebut dibuat dengan mengambil kira memorandum perjanjian tenaga kerja antara Malaysia dengan Bangladesh.

“Kami memohon kerajaan untuk secara rasmi menjemput Bangladesh untuk menjadi sebahagian daripada pekerja sektor domestik kerana mereka sudah mempunyai MOU dengan Bangladesh.

"Mengapa Bangladesh tidak dibenarkan menjadi pembekal bagi pembantu rumah sedangkan mereka telah bersetuju untuk melakukannya? soal Sukumaran ketika dihubungi Malaysiakini.

Timbalan presiden Papsma Kris Foo pula berkata, proses itu boleh dipercepatkan untuk memenuhi permintaan mendesak, sementara menunggu pemeteraian MOU antara Malaysia dengan Indonesia, khususnya mengenai pengambilan pekerja domestik.

“Sementara menunggu Indonesia memuktamadkan MOU, kami dengan serius menggesa kerajaan membuka peluang kepada pekerja Bangladesh dalam sektor am dan sektor domestik.

“Bangladesh mempunyai pusat latihan yang sangat baik dan mereka menghantar pekerja domestik ke Timur Tengah, Hong Kong, Taiwan, Korea dan Jepun,” kata Foo ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Perkeso, pekerja domestik adalah individu yang diambil bekerja sesebuah rumah kediaman persendirian dan bukan diambil bekerja bagi apa-apa tujuan lain yang melibatkan aktiviti seperti perdagangan, perniagaan atau profesion yang dijalankan oleh majikan.

Antara contoh pekerja domestik adalah seperti pembantu rumah, pemandu peribadi, tukang kebun, pengawal peribadi, pengawal keselamatan rumah dan pengasuh.

Kerajaan Malaysia buat masa ini hanya membenarkan pengambilan pekerja domestik dari sembilan negara, dengan majoritinya daripada warganegara Indonesia dan Filipina.

Majlis menandatangani MOU berhubung pengambilan sektor domestik antara Malaysia dengan Indonesia ditunda buat kali kedua dan dijangka akan diadakan diadakan pada awal April.

Pekerja dari Bangladesh kebanyakannya diambil untuk sektor perladangan, pembuatan dan pembinaan yang terjejas teruk akibat penutupan operasi dalam tempoh dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Setakat ini, tiada ketibaan baru pekerja asing walaupun Malaysia bersiap sedia untuk menarik balik sekatan kemasukan asing menjelang 1 April.

[Baca berita asal]