Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Tiada lagi laporan EIA projek tambak laut sultan Johor di laman web JAS’

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana didakwa menurunkan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) di laman web rasminya selepas ahli parlimen Muar itu membangkitkan kebimbangan mengenai projek penambakan laut yang dikaitkan dengan sultan Johor.

Menerusi hantarannya di Facebook, Syed Saddiq berkata kajian EIA mengenai projek mega Maharani Energy Gateway, seharusnya dipamerkan untuk tatapan orang ramai.

“Lepas saya post (hantar) video nelayan-nelayan Muar mengadu mengenai projek mega Maharani Energy Gateway, saya perasan ada sesuatu yang pelik.

“Sebelum saya buat video saya, saya ada rujuk laporan EIA dekat laman web Jabatan Alam Sekitar. Saya rujuk sebab nak fahamkan betul-betul projek mega ini,” katanya.

Menurut bekas menteri belia dan sukan itu, sebelum ini memang laporan EIA yang penuh telah dimuat naik dan dia juga ada menggunakan beberapa halaman laporan tersebut dalam video itu.

“Tapi hari ini, bila saya nak rujuk balik dah tak ada. Dekat lama web JAS siap ‘cross’ lagi butang laporan EIA,” katanya.

Syed Saddiq seterusnya mempersoalkan kenapa laporan awam tersebut supat tidak dalam dikesan sedangkan projek tersebut sudah pun bermula.

“Mujur saya ada simpan beberapa bab dalam laporan tersebut sebagai bukti. Persoalan saya, kenapa laporan awam tersebut diturunkan sedangkan projek ini dah pun bermula?

‘Ini adalah laporan awam dan rakyat berhak untuk tahu perincian projek tersebut terutamanya orang-orang Muar yang terkesan.

‘Saya hanya mohon untuk dengar keluhan golongan-golongan yang terkesan dan berikan mereka pampasan yang setimpal dan wajar,’ katanya sambil menambah akan cuba mencari jalan tengah dan menyelesaiakan isu itu dengan cara baik dengan pihak yang terlibat.

Menurut paparan skrin yang dimuat naik oleh Syed Saddiq, laporan EIA berkenaan sepatutnya dipamerkan di pusat pameran bermula 14 Februari hingga 15 Mac; dan orang awam boleh menilainya sehingga 30 Mac.

Syed Saddiq, yang juga adalah presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), berkata, kebajikan penduduk tempatan tidak boleh diabaikan sebegitu sahaja.

“Projek Mega Maharani Energy Gateway tak boleh abaikan kebajikan orang Muar.

“Ini masa depan mereka, ini rumah mereka.dengan projek mega itu kerana Muar adalah rumah mereka,” katanya.

Dua minggu lalu, Syed Saddiq menggesa kerajaan negeri untuk mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan termasuk nelayan, tokoh perniagaan dan wakil tempatan, sebelum meneruskan projek itu.

"Ini mengenai masa depan mereka dan anak-anak mereka. Harap bantu," kata Syed Saddiq dalam sebuah video di Instagram semalam.

Seentara itu, Malaysiakini telah menghubungi JAS untuk mendapatkan ulasannya.

Projek Maharani Energy Gateway ini bertujuan untuk mewujudkan hab tenaga dan pelabuhan laut dalam yang melibatkan tiga pulau buatan manusia seluas 1,295 hektar, kira-kira satu perempat saiz Putrajaya.

Seperti projek Forest City di Selat Johor, projek membak pantai di Selat Melaka itu juga mempunyai kepentingan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Penilaian EIA untuk projek itu menyebut:“Nelayan yang sering menangkap ikan di kawasan yang terjejas itu perlu mencari lokasi lain.”

Ia juga menyebut bahawa kos menangkap ikan akan meningkatkan kerana penambakan itu akan melibatkan kenaikan kos perjalanan pergi dan balik yang lebih jauh ke kawasan memancing alternatif.

Laporan itu berkata ia meninjau terhadap situasi 101 nelayan mengenai projek itu dan kebanyakan mereka (49 nelayan) tidak mempunyai pendapat terhadap perkara itu, manakala 23 bersetuju dengan cadangan itu.

Projek itu dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar sebanyak RM99 bilion dalam tempoh 10 tahun. Ia juga dijangka menjana 26,769 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama, menurut laporan itu.