Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Salah guna dadah: Jangan terlalu fokus artis saja - Ayob

Polis akan menahan mana-mana individu tanpa mengira latar belakang sekiranya dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu terbabit dan kertas siasatan akan dibuka serta diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

“Tidak kira siapa latar belakangnya, dia ustaz, tok guru, orang politik mahupun penjawat awam, terlibat (penyalahgunaan dadah), kita akan tangkap.

“Peguam Negara akan lihat, cukup atau tidak bukti-bukti untuk dituduh, jadi di peringkat kita, akan lakukan siasatan lengkap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

Ayob Khan berkata penglibatan artis atau selebriti dalam penyalahgunaan dadah bukan sesuatu yang baru.

“Jangan terlalu fokus pada artis sahaja, semua orang terlibat.

"Tengok sahaja latar belakang yang kita pernah tangkap, ada penjawat awam, cikgu, pensyarah dan ahli politik. Asal terlibat kita akan tangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penahanan seorang penyanyi nasyid yang juga komposer terkenal selepas dipercayai menanam 17 pokok ganja di dalam pasu di unit kondominium miliknya di Kota Damansara dekat sini.

- Bernama