Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Fahmi Zainol secara rasmi umum tanding ketua AMK

Bekas aktivis mahasiswa Fahmi Zainol hari ini secara rasmi mengumumkan untuk bertanding bagi jawatan ketua pemuda PKR bagi pemilihan parti itu yang akan datang.

Adun Rawang Chua Wei Keat pula menjadi gandingannya dengan merebut jawatan timbalan ketua.

Fahmi yang juga Ketua AMK Pulau Pinang turut mengumumkan senarai penuh pasukannya.

"Saya, Fahmi Zainol menawarkan diri sebagai calon Ketua AMK Malaysia bagi sesi 2022 hingga 2025," katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.

Katanya, pemilihan PKR bagi sayap pemuda Malaysia sesi 2022 merupakan pemilihan yang berbeza berbanding sebelum ini.

"Pemilihan kali ini adalah pemilihan yang berasaskan penyatuan, gerakan dan ketumbukan anak muda dalam PKR bagi meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kami yakin dan sentiasa berusaha merangkul kesemua anggota AMK setiap cabang di seluruh Malaysia untuk bersama-sama Fahmi Zainol dan rakan-rakan," katanya lagi.

Fahmi, 31 tahun, merupakan bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM) dan pernah berdepan tindakan tatatertib selepas menjemput Presiden PKR Anwar Ibrahim berucap pada 2014.

Dia menyertai PKR pada 2015.

Menurutnya, dasar utama pasukannya adalah untuk meraih sokongan orang muda khususnya kelompok pengundi 18 tahun sehingga 21 tahun dan pengundi kali pertama.

"Statistik menunjukkan sebanyak 5.8 juta rakyat berusia 18 tahun dan ke atas bakal menjadi pemilih dalam PRU akan datang.

"Statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini berkenaan peratusan anak muda turun mengundi di PRN Johor cukup rendah - 173,177 pemilih daripada keseluruhan 706,082 pemilih iaitu hanya 24 peratus anak muda yang turun mengundi dan ini cukup membimbangkan.

"Oleh itu, pendekatan yang perlu diambil oleh AMK dalam menghadapi PRU15 juga perlu dipelbagaikan," katanya.

Alu-alukan saingan

Sementara itu, Fahmi berkata dia mengalu-alukan seorang lagi bekas aktivis mahasiswa Adam Adli yang disebut-sebut akan turut bertanding jawatan itu.

"Saya mengalu-alukan kehadirannya ke gelanggang politik.

"Kami pernah bersama-sama dengan memperjuangkan banyak isu berkaitan mahasiswa sebelum ini.

"Jadi, sekiranya dia bertanding, ini lebih kepada pertandingan abang-adik," katanya lagi.

Untuk rekod, Adam masih tidak mengesahkan sama ada dia akan bertanding atau sebaliknya.

Bekas aktivis berusia 33 tahun itu berkata dia akan mengumumkan perkara itu sebelum hari penamaan calon jika membuat keputusan untuk bertanding.

Berikut adalah senarai barisan penuh yang diumumkan:

Calon Ketua AMK: Fahmi Zainol (Ketua AMK Pulau Pinang)

Calon Timbalan Ketua AMK:

Chua Wei Keat (Adung Rawang merangkap Ketua AMK Selangor)

Calon Naib Ketua AMK:

Prasanth Kumar Brakasam (Ketua AMK Melaka)

Muhammad Izuan (Ahli Majlis MBSA)

Calon Exco AMK:

Chiew Choon Man (Timbalan Ketua AMK Sarawak)

Muhd Sallehuddin Nazaruddin (Timbalan Ketua AMK Negeri Sembilan)

Chan Chun Kuang (Naib Ketua AMK Pahang)

Dr Chong Ren Jye (Cabang Bukit Mertajam)

Farzana Hayani (Ketua Srikandi Melaka)

Rukhairil Aizar (Exco AMK Perak)

P Prabakaran (Ahli Parlimen Batu merangkap Ketua AMK Wilayah Persekutuan)

Muhammad Syaril Showkat Ali (Cabang Kota Raja)

Rafiah Barkin (Cabang Batu Sapi)

Cheong Xue Mei (Naib Ketua AMK Perak)

Mohd Mustaqim Abd Jalil (Ketua AMK Pahang)

[Berita lanjut menyusul]