Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dua bekas Adun DAP Sabah kini sertai Warisan

Dua Adun DAP Sabah yang mengumum meninggalkan parti itu pada Jan, hari ini secara rasmi menyertai Warisan.

Mereka ialah Adun Sri Tanjung, Justin Wong, dan Adun Elopura, Calvin Chong.

Kedua-dua mereka menyerahkan borang keahlian Warisan pada sidang media yang diadakan presiden parti itu, Mohd Shafie Apdal, di Kota Kinabalu, pagi tadi.

"Mereka memberitahu saya hasrat mereka untuk meneruskan perjuangan untuk rakyat Sabah,” kata Shafie.

Bekas ketua menteri itu menambah kedua-dua Adun terbabit tidak dijanjikan apa-apa untuk menyertai Warisan, apatah lagi parti itu bukan lagi menjadi kerajaan ketika ini.

Sementara itu Wong berkata dia menyertai parti berpangkalan di Sabah berdasarkan maklum balas daripada pengundinya. Dia juga mempertahankan keputusannya meninggalkan DAP.

“Saya meninggalkan DAP bukan kerana kepentingan peribadi tetapi kerana parti itu hilang hala tuju dan perbalahan dalaman menyebabkan saya keluar,” katanya.

Chong turut menyatakan alasan yang sama untuk meninggalkan DAP.

Katanya dia tetap teguh dengan pembangkang dan kerana itulah dia memilih Warisan, iaitu sebuah lagi parti pembangkang, dan bukannya berpaling tadah kepada gabungan kerajaan.

Kerajaan Sabah terdiri daripada gabungan parti politik yang terdiri daripada Perikatan Nasional, BN dan PBS di bawah panji Gabungan Rakyat Sabah.