Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

10 Adun angkat sumpah sebagai exco Johor

Seramai 10 Adun mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, di Johor Bahru, hari ini.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengangkat sumpah adalah Ketua Pemuda Umno Johor yang juga Adun Larkin, Mohd Hairi Mad Shah, Ketua Wanita Bahagian Ledang Khairin Nisa Ismail (Serom), Ketua Pemuda MIC Kebangsaan K Raven Kumar (Tenggaroh), Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai), Zahari Sarip (Buloh Kasap) dan Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah).

Turut mengangkat sumpah, Ketua Puteri Umno Kota Tinggi yang juga Adun Johor Lama Norliza Noh, Ketua Pemuda MCA Johor Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh) dan Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir).

Turut berangkat di Majlis Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Berangkat sama Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Pada 15 Mac lepas, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang juga Adun Machap telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian Umno Simpang Renggam, yang memenangi kerusi DUN Machap pada PRN Johor baru-baru ini, dengan majoriti 6,543 undi.

Dia menggantikan Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb lepas.

-Bernama