Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri luar tulis surat dalam BM pada setiausaha negara AS

Sejajar dengan usaha memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Menteri Luar Saifuddin Abdullah mengutuskan surat rasmi dalam bahasa kebangsaan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken.

Perkara itu dikongsikannya dalam satu catatan di akaun Facebooknya hari ini.

“Hari ini saya telah menulis surat rasmi dalam Bahasa Melayu kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat.

“Ia surat rasmi dalam Bahasa Melayu yang pertama daripada saya kepada rakan sejawat, selaras dengan kenyataan Perdana Menteri di Dewan Negara semalam (Rabu),” kata Saifuddin.

Perdana menteri Ismail Sabri Yaakob memberitahu persidangan Dewan Negara bahawa dia akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin Asean untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean.

Usaha penggunaan Bahasa Melayu itu akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan, mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala, di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian.

Dalam menterjemahkan kesungguhan kerajaan itu, Ismail Sabri mula menggunakan Bahasa Melayu semasa lawatan rasminya ke Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam baru-baru ini.

Dia juga akan menggunakan Bahasa Melayu secara rasmi ketika berucap pada Sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Sidang Kemuncak Asean yang masing-masing akan berlangsung pada September dan November ini.

Dalam catatan berasingan di Facebooknya Khamis, menteri luar itu berkata dia mengambil bahagian dalam Dialog Asia Mengenai Migrasi Paksa (ADFM), mengetengahkan realiti rantau ini berkaitan penghijrahan paksa dan perpindahan penduduk.

“Penduduk terancam yang paling terjejas, contohnya pelarian Rohingya dari Myanmar, itulah sebabnya Malaysia mengambil bahagian secara aktif dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk melaksanakan kerjasama serantau yang teratur dan komprehensif untuk menangani situasi itu dengan berkesan,” katanya.

ADFM menghimpunkan pembuat keputusan kerajaan dan bukan kerajaan dari sembilan negara terjejas dan wakil dari UNHCR dan IOM.

Mesyuarat ADFM ini bertepatan dengan ulang tahun ke-20 Proses Bali, sebuah forum untuk dialog dasar, perkongsian maklumat dan kerjasama praktikal untuk membantu rantau ini menangani cabaran itu.

"Kami menyeru agar negara anggota menjadi lebih proaktif dan kreatif untuk proses itu berfungsi dengan lebih baik," tambahnya.

-Bernama