Usul kerajaan akhirnya lepas hari ini
PARLIMEN | Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua bagi mengecualikan pendaftaran pemilih secara automatik kepada ketua-ketua negeri dan waris mereka.
Ia mendapat sokongan kesemua ahli Parlimen yang hadir, melepasi syarat dua pertiga sokongan seperti yang diperlukan untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Seramai 181 wakil rakyat menyokong, manakala 39 tidak hadir. Tiada yang tidak bersetuju.
RUU berkenaan bertujuan meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bagi mengecualikan pendaftaran pemilih secara automatik kepada “raja pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan, dan mana-mana orang lain”.
Ia dibentangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan dibahaskan oleh 14 pembahas.
Sejurus lulus bacaan kedua, undian diadakan pula untuk bacaan kali ketiga yang menyaksikan RUU itu diluluskan dengan 178 orang bersetuju dan 42 tidak hadir. Tiada yang tidak bersetuju.
Ada beberapa isu dibangkitkan ahli parlimen ketika perbahasan dan antara yang paling banyak disebut adalah sikap berkecuali yang harus diamalkan institusi diraja dalam soal politik.
Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) mencadangkan raja-raja turut mengguna pakai contoh prinsip dalam undang-undang iaitu “keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, malah perlu dilihat telah ditegakkan”.
“Dalam soal keneutralan juga, keneutralan bukan sahaja perlu diamalkan, malah perlu dilihat telah diamalkan,” katanya.
Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata, selaku “payung” yang menaungi semua rakyat, rakyat mengharapkan institusi raja tidak masuk campur atau menunjukkan kecenderungan dalam urusan politik.
“Itu yang lebih penting supaya institusi raja kekal neutral, supaya segala persaingan antara parti atau gabungan politik dapat berlaku secara sihat - dari segi dasar dan idea. Mereka (harus) kekal neutral dan tidak berpihak,” katanya.
Hal sama turut dibangkitkan Salahuddin Ayub (PH-Pulai), supaya raja dan rakyat sama-sama dapat menghayati lunas Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau seorang raja itu mengeluarkan kenyataan politik sebagai contoh, apakah daya rakyat macam kita nak berlawan di khalayak, berlawan di media sosial? Sangat buruk rupanya, kecuali kita kembali menghayati semangat yang ada dalam Perlembagaan,” katanya.
Hak mengundi
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) pula adalah antara yang membangkitkan persoalan apakah pindaan itu nanti akan menyebabkan hak raja-raja untuk mengundi - yang sepatutnya dijamin perlembagaan - ditarik tanpa kerelaan mereka.
“Adakah (dengan) kita luluskan RUU ini, bermakna kita bergerak ke depan dari segi demokrasi sebagai masyarakat progresif, atau apabila kita mencabut hak kesamarataan, hak memilih kepada raja-raja ini, kita sebenarnya berundur ke belakang.
“Saya tak mahu pada lima hingga sepuluh tahun akan datang, waris-waris raja akan berarak untuk tuntut hak mereka yang diiktiraf oleh perlembagaan,” kata Hassan.
Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) pula berpandangan kerabat raja atau ketua negeri wajar diberi pilihan untuk menyertai politik, justeru turut membolehkan mereka dikritik seperti mana-mana ahli politik yang lain.
Dalam jawapan Wan Junaidi selepas perbahasan, dia menjelaskan bahawa pindaan itu tidak melucutkan hak mana-mana kerabat diraja daripada mengundi, sebaliknya memberi pilihan kepada mereka sama ada untuk kekal tidak berpihak atau menyertai politik.
“Kita tidak berhasrat untuk menarik hak mereka tetapi ia merupakan satu yg telah dirundingi dengan pihak negeri serta Majlis Raja-Raja sendiri.
“Dari sudut pelaksanaan, nama-nama yang diberi pengecualian akan dimasukkan ke dalam satu perintah yang akan mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.
“Maknanya, apabila seseorang itu tidak mahu namanya dikecualikan maka dia boleh (untuk) tidak dikecualikan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai