Peguam Najib dakwa pendakwaan cuba ‘selamatkan’ saksi 1MDB
Peguam Muhammad Shafee Abdullah mendakwa bahawa pihak pendakwaan cuba "menyelamatkan" saksi penting dalam kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB membabitkan Najib l Razak.
Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram tidak bersetuju dan sebaliknya berkata, peguam bela bekas perdana menteri itu sebenarnya melontarkan soalan yang tidak relevan dalam prosiding kes rasuah hari ini.
Perbalahan lisan itu berlaku semasa perbicaraan mahkamah terbuka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Pertikam lidah yang hangat itu tercetus semasa Shafee menyoal balas saksi pendakwaan ke-13 dan bekas ahli lembaga pengarah 1MDB, Ismee Ismail mengenai dakwaan perjanjian palsu berkaitan penukaran wang dana pelaburan negara itu kepada nota Murabahah.
Berdasarkan perjanjian usaha sama antara 1MDB dan Petrosaudi International Limited Abu Dhabi, mereka bersetuju untuk menukar 40 peratus kepentingan 1MDB dalam usaha sama itu kepada pinjaman Islam bernilai AS$1 bilion.
Perjanjian itu menyaksikan 1MDB bersetuju untuk menjual 40 peratus saham kepada syarikat usaha sama itu, dengan memberikan, nilai atas kertas, pinjaman Islam melalui nota Murabahah kepada syarikat usaha sama tersebut pada nilai AS$1.2 bilion.
Dengan penukaran kepada nota Murabahah, syarikat usaha sama itu di atas kertas akan berhutang AS$1.2 bilion kepada 1MDB, sekali gus memberi 1MDB keuntungan atas kertas sebanyak AS$200 juta.
Semasa prosiding di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini, Sri Ram membangkitkan bantahan terhadap cara Shafee menyoal saksi.
Sequerah bersetuju dan berkata cara peguam bela utama Najib itu adalah tidak adil untuk cuba memaksa saksi untuk menjawab sedangkan apabila isu itu adalah berdasarkan dokumentasi.
Ketika Najib menoleh dari kandang tertuduh, Shafee kemudian berhujah bahawa pihak pendakwaan cuba 'menyelamatkan' Ismee, yang dinafikan Sri Ram.
Shafee: Tiada siapa yang perlu selamatkan saksi.
Sri Ram: Saya tidak selamatkan saksi. Saya cuba hentikan soalan yang tidak berkaitan.
Sequerah kemudian berkata bahawa Ismee mungkin tidak tahu jawapannya kerana ia adalah satu inferens.
Shafee kemudian menjelaskan bahawa pasukan pembelaan memerlukan jawapan Ismee kerana saksi ketika itu adalah ahli lembaga pengarah 1MDB dan mempunyai fakta asas tentang apa yang berlaku.
Hakim kemudian membenarkan Shafee meneruskan soal balas itu.
Dua hari lalu semasa perbicaraan, Sri Ram berhujah bahawa pasukan pembelaan Najib mengemukakan soalan yang tidak relevan kepada Ismee dan mereka harus berhenti membuang masa mahkamah.
Dalam prosiding sebelum ini, pasukan pembelaan Najib mendakwa bahawa bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang salah laku di 1MDB, dan ia hanya didalangi oleh ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho dan beberapa ahli pengurusan dana pelaburan negara itu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan bahawa Low (juga dikenali sebagai Jho Low) telah bertindak sepenuhnya atas kuasa Najib, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB ketika itu.
1MDB dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).
Perbicaraan bersambung petang ini.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara awal 2011 dan akhir 2013.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai