Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya ingat tak ada undi semalam - Ahmad Maslan 

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan berkata dia tidak mengambil bahagian semasa undian berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) semalam kerana difahamkan tiada pengundian.

Malah, katanya, dia juga pada mulanya yakin usul untuk melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Sosma - berkaitan penahanan tanpa bicara - akan lulus, susulan memorandum persefahaman (MOU) kerajaan-pembangkang.

"Semalam, sebelum (menteri dalam negeri) Hamzah Zainuddin menggulung saya dipanggil untuk berbahas oleh Cameron Highlands (Ramli Mohd Nor) tetapi saya tak nak berucap, maka saya tak berucaplah.

“Selepas itu baru Hamzah menggulung kemudian saya pun keluar dan bila saya keluar saya tanya dua, tiga orang pegawai ada mengundi ke? 

“Dia orang pun jawab mana ada mengundi, dah tandatangan MOU, tak ada mengundi.

“Oleh kerana saya pun ada mesyuarat perkahwinan anak saya, Ahad ini dan kerana tak ada mengundi maka saya pun tak adalah nak menunggu Hamzah.

“Itulah sebabnya,” kata Ahmad ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Tahanan Sosma pada 2017, gambar hiasan

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketiadaanya di Dewan Rakyat ketika pengundian semalam.

Usul itu gagal mendapat sokongan mencukupi Dewan Rakyat dalam undi belah bahagi, apabila hanya 84 bersetuju manakala 86 tidak bersetuju, manakala 50 tidak hadir.

Dengan itu, subseksyen berkenaan - yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret - tidak akan lagi berkuat kuasa selepas luput pada 31 Julai 2022.

Selain Ahmad, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta bekas perdana menteri Najib Razak, juga dikatakan tidak hadir. 

Najib dan Zahid dalam perhimpunan agung Umno

Pemimpin ini antara yang sering dirujuk sebagai “Kluster Mahkamah” yang mahukan pilihan raya umum diadakan segera.

Ditanya berkaitan ketidakhadiran pemimpin daripada kumpulan itu, Ahmad tidak mengulas secara langsung.

"Tiada kaitan kluster mahkamah dengan bukan kluster ini,” katanya.

Malah, katanya, dia sendiri telah dibebaskan oleh hakim di mahkamah.

“Saya bukan lagi kluster mahkamah," tegasnya.

‘Tiada lagi ikatan MOU’

Mengulas MOU kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), Ahmad berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kini tidak terikat dengannya.

“Tolak usul kerajaan, bukti pembangkang langgar MOU.

“Penolakan usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) oleh pihak pembangkang di parlimen jelas melanggar MOU yang ditandatangani.

“Perdana menteri juga kini sudah tidak terikat,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob

Bagaimanapun, mengulas lanjut Ahmad pada awalnya mengakui khuatir sekiranya kerajaan telah melanggar perjanjian tersebut.

“Tetapi sekarang ini pembangkang yang melanggar jadi terangkatlah bebanan itu, bebanan khuatir kita melanggar kerana mereka dah melanggar,” katanya.