Dakwa siasatan tak lengkap, ibu bapa Beng Hock fail semakan kehakiman
Ibu bapa Teoh Beng Hock memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung dakwaan polis gagal melengkapkan siasatan kematiannya 13 tahun lalu.
Teoh Leong Hwee dan Teng Shuw Hoi membuat permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Januari lalu.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas menjalani soal siasat di ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan itu.
Ketika itu, mendiang merupakan pembantu kepada Adun Seri Kembangan dan Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memutuskan mendiang bunuh diri itu akibat soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai SPRM.
‘Individu tak dikenali’
Pada 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan punca kematiannya berpunca daripada tindakan “seorang atau lebih individu tak dikenali”, termasuk pegawai SPRM yang menyoal siasatnya.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, tindakan undang-undang itu menamakan ketua polis negara, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah polis, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Menurut afidavit sokongan yang mengiringi permohonan itu, Teng berkata polis gagal melengkapkan siasatan kematian anaknya, walaupun dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan.
Dia mendakwa kegagalan itu walaupun setelah ia dibangkitkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta mengundang kecaman awam.
Katanya, polis telah menubuhkan tiga pasukan petugas pada 2011, 2014 dan 2018 untuk menyiasat kematian anaknya.
Dakwanya lagi, kali terakhir polis memberi kemas kini berhubung siasatan adalah menerusi sepucuk surat bertarikh 21 September 2021 kepada peguamnya di Karpal Singh & Co.
Polis juga telah mengatakan yang Pejabat Peguam Negara (AGC) mengembalikan kertas siasatan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut pada awal bulan itu.
Dia juga mendakwa sejak itu, polis tidak lagi memberi kemas kini kepada keluarga berhubung perkembangan siasatan.
“Saya dinasihati oleh peguam cara saya, nasihat yang saya percayai adalah tepat dan benar, bahawa jelas siasatan responden pertama, responden kedua dan responden ketiga tidak memadai dan/atau kompeten dan oleh yang demikian, kertas-kertas siasatan telah pun berkali-kali dihantar balik untuk siasatan lanjut dan/atau arahan lanjut kepada responden pertama dan/atau responden kedua oleh AGC,” katanya.
Dia juga berkata siasatan polis terhadap kematian anaknya tidak dibuat secara telus dan boleh dilihat sebagai usaha menutup kebenaran di sebalik apa yang berlaku.
Ini terutama apabila polis mempunyai semua keterangan yang dikumpulkan semasa siasatan termasuk daripada pegawai-pegawai SPRM yang telah digantung kerja, dakwanya lagi.
Menerusi semakan kehakiman ini, ibu bapa Beng Hock menuntut mahkamah mengeluarkan perintah mandamus agar ketua polis negara melengkapkan siasatan dalam masa sebulan selepas keputusan mahkamah.
Mereka juga menuntut beberapa lagi pengisytiharan, antaranya responden pertama, kedua dan ketiga telah cuai dalam menjaga kewajiban berjaga-jaganya terhadap mereka untuk melengkapkan siasatan dalam jangka masa munasabah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai