Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PM tak ada kuasa bubar parlimen - Noh

Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan parlimen, sebaliknya kuasa itu berada di tangan Yang di-Pertuan Agong, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Noh Omar.

Noh yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, banyak pihak tidak faham mengenai had kuasa perdana menteri yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

"Kita kena jelas bahawa dalam menentukan pembubaran parlimen ini, termaktub dalam perlembagaan.

"Artikel 40 (menyebut) kuasa Kabinet untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan dalam artikel itu juga menyatakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk boleh tidak membubarkan parlimen.

"Jangan salah faham, parti boleh buat cadangan kepada Agong, kabinet setuju untuk bubarkan (parlimen), tapi ini adalah satu kuasa mutlak Agong," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan bantuan banjir Usahawan Keluarga Malaysia di Temerloh, hari ini.

Desakan supaya Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen antara perkara paling lantang disuarakan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2021 yang berakhir Sabtu lalu.

‘Jika kabinet setuju baru bawa kepada Agong’

Noh bagaimanapun menjelaskan Umno boleh mencadangkan untuk membubarkan parlimen, namun ia bukan bermakna kuasa membubarkan parlimen diputuskan Ismail.

"Kuasa lantik Kabinet, ya kuasa PM. Kita kadang-kadang selama ini lihat seolah-olah kuasa PM (bubar Parlimen), ini hanyalah by convention kuasa PM, tetapi perlembagaan jelas (menyatakan) ini kuasa kabinet, bukan kuasa PM.

"PM kena bawa dalam kabinet, (jika) kabinet setuju baru bawa kepada Agong dan terpulang kepada kuasa Agong untuk bubar," katanya.

Untuk rekod, BN memiliki 42 ahli parlimen di Dewan Rakyat, dengan Umno sendiri memiliki 38 perwakilan bersama sokongan parti lain iaitu Bersatu, PAS, GPS, PBS, Star dan bebas.

Noh berkata, apa yang berlaku ketika pertukaran perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad letak jawatan, tidak berlaku pembubaran parlimen, sebaliknya Agong menasihatkan supaya kerajaan baru ditubuhkan.

Pada masa itu katanya, terdapat di kalangan ahli parlimen yang menyokong Mahathir sebagai perdana menteri, manakala sebahagian yang lain menyokong Anwar untuk jawatan itu.

"Akhirnya tidak ada yang mempunyai majoriti dan Agong titah tubuh kerajaan baru dan Muhyiddin Yassin jadi PM.

"Kemudian Muhyiddin hilang sokongan, parlimen tak bubar juga, teruskan kerajaan baru pula dan lantiklah PM yang baru.

“Ini kuasa Agong, kita tidak boleh mendahului kuasa Agong kerana ia kuasa mutlak Agong," katanya.

Noh menjelaskan seri paduka baginda mempunyai kuasa mutlak membabitkan pelantikan perdana menteri, pembubaran parlimen dan mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-raja dan kuasa itu tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.