Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP Kota Belud: Kenapa ada PRN tapi tiada PRK di Bugaya?

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen Warisan mempersoalkan kelewatan kerajaan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi DUN Bugaya di Sabah, selepas tiga pilihan raya negeri (PRN) diadakan di bawah sekatan wabak Covid-19.

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berkata lebih setahun telah berlalu sejak kerusi Bugaya kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Manis Muka Mohd Darah, hanya beberapa bulan selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept 2020.

“Selama lebih setahun penduduk di Bugaya tidak diwakili.

"Di mana letaknya kepedulian kerajaan? Adakah itu yang kita panggil 'Keluarga Malaysia'?" katanya semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2021) 2022.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 27 Nov 2020 mengumumkan PRK Bugaya dan juga PRK bagi kerusi Parlimen Gerik akan diadakan serentak pada 16 Jan 2021.

Kedua-dua PRK itu ditangguhkan tanpa tarikh diberikan melalui peruntukan undang-undang darurat di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan kerana Covid-19.

Isnaraissah berkata sejak itu, SPR telah meneruskan PRN di Sarawak, Johor dan Melaka.

"Terdapat beberapa pilihan raya negeri diadakan. Sarawak adalah kerana masanya telah tiba.

"Tetapi satu negeri itu bergaduh sesama sendiri, manakala satu lagi atas nama kestabilan politik," katanya.

“Pilihan raya di negeri-negeri ini dijalankan semasa pandemik Covid-19 pada skala yang lebih besar berbanding jika kita mengadakan pilihan raya kecil Bugaya,” tambah Isnaraissah.

Timbalan Menteri Kewangan I Shahar Abdullah sebelum ini membentangkan rang undang-undang untuk menggunakan sejumlah RM8,413,567,300 daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk pelbagai perbelanjaan tambahan yang tidak diperuntukkan sepenuhnya oleh bajet persekutuan sedia ada.

Jumlah itu termasuk cadangan penambahan RM67,721,300 untuk Suruhanjaya Pilihan Raya.

Shahar dalam ucapan penggulungannya bagaimanapun memohon maaf kepada Isnaraissah kerana tidak dapat menjawab soalannya.

Secara berasingan, Chan Foong Hin (Pakatan Harapan-Kota Kinabalu) berkata kerajaan boleh menjimatkan kos untuk mengadakan pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil secara berasingan melalui penggubalan Akta Parlimen Jangka Tetap, yang dicontohi oleh demokrasi Westminster yang lain.

Dia berkata ini berbeza dengan amalan semasa di mana seorang perdana menteri mempunyai kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan parlimen sebelum tamat penggal lima tahun.

“Dengan Akta Jangka Tetap, saya rasa Malaysia boleh menjimatkan kos untuk mengadakan pilihan raya mengejut atau pilihan raya tidak dirancang, dan kos untuk pilihan raya umum boleh dimasukkan dalam bajet persekutuan," kata Chan.

Dalam ucapannya kemudian, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin turut bersetuju dengan cadangan Chan, sambil menambah bahawa Akta itu, sekiranya ia mula berkuat kuasa, akan memulihkan kestabilan politik di Malaysia.

“Kalau boleh, dalam MOU 2.0, jika Ahli Parlimen Bera mahukan kestabilan politik, buat MOU 2.0 dan dalam MOU 2.0 itu, kita buat Akta Parlimen Jangka Tetap, di mana tarikh pilihan raya ditetapkan sehingga akhir penggal.

"Dan saya amat yakin ini akan mendapat sokongan daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan PH Plus. Yang tidak bersetuju hanya beberapa daripada 'kluster mahkamah' sahaja," kata Sim.

Berikutan pilihan raya negeri Johor bulan lepas, negeri yang dikuasai PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, serta negeri pimpinan PAS Kelantan, Terengganu dan Kedah telah menegaskan bahawa ia tidak akan membubarkan DUN negeri meski Putrajaya umum bubar parlimen sebelum tamat penggal pada Mei tahun hadapan.