Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekembalinya ke politik, setiap idea songsang Najib saya jawab - Rafizi

Kira-kira seminggu selepas mengumumkan langkah kembali ke arena politik, naib presiden PKR, Rafizi Ramli mensasarkan bekas perdana menteri, yang juga bekas presiden Umno Najib Razak.

Dalam satu kenyataan, Rafizi menolak gesaan ahli parlimen Pekan itu agar kerajaan melalui Petronas atau Khazanah Nasional menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.

Kata Rafizi, Najib memberi alasan bahawa rakyat akan kerugian besar jika Sapura tidak diselamatkan.

"Sementara saya simpati dengan nasib kakitangan Sapura yang berhadapan masa depan tidak menentu, membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa kerat syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan semua pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan adalah tidak adil.

"Lebih-lebih lagi apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu.

“Walaupun terus diberi suntikan wang rakyat, Sapura terus mengalami masalah kewangan pada kala harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik)," kata Rafizi.

‘Hanya bela segelintir golongan elit’

Kelmarin, Najib menyarankan kerajaan memberi pinjaman faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura Energy bagi menyelesaikan masalah aliran tunai seperti dilakukan kerajaan BN untuk menyelamatkan Proton.

Mengambil contoh bagaimana Petronas menyelamatkan syarikat MISC pada 1998, Najib turut mencadangkan kerajaan mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional mengambil pemilikan Sapura Energy daripada PNB.

Najib berkata, jika Sapura Energy muflis beberapa kesan buruk akan berlaku antaranya pelabur ASB, PNB, KWSP dan lain-lain tabung simpanan rakyat berdepan kerugian, selain hampir 10,000 pekerjaan bergaji tinggi akan hilang.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata sekiranya gesaan Najib itu diberi perhatian, wang rakyat akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.

"Sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” katanya.

Menurut Rafizi, dia akan terus memantau isu itu dan membentangkan angka-angka yang diperlukan untuk mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi Najib.

"Saya menunggu sama ada beliau akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini.

"Sekembalinya saya ke arena politik, Insha Allah setiap idea songsang daripada Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerima maklum balas daripada saya," katanya.