Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

‘Apa dah jadi dengan janji k’jaan untuk bentang RUU antilompat parti’

Pemimpin veteran Umno Shahrir Abdul Samad mempersoalkan kegagalan kerajaan membentangkan rang undang-undang anti-lompat parti di Dewan Rakyat pada mesyuarat penggal kelima sidang parlimen ke-14 yang sedang berlangsung - dan dijadualkan berakhir Khamis, 24 Mac ini.

Pembaharuan institusi yang dipersetujui oleh kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan sepatutnya dibentangkan di Parlimen menjelang Mac 2022.

Undang-undang anti-lompat adalah sebahagian daripada perjanjian reformasi, yang bertujuan untuk menghalang wakil rakyat daripada menyalahgunakan mandat yang diberikan oleh pengundi kepada mereka.

Shahrir berkata kegagalan kerajaan untuk menunaikan janji mereka akan membawa kepada pelbagai andaian dan sangkaan ke atas beberapa menterinya yang pernah melompat parti pada masa lalu.

“Apa dah jadi dengan janji kerajaan untuk membentang RUU anti lompat parti pada sesi bulan Mac ini?

“Apabila janji tidak ditepati, maka macam-macam andaian dan sangkaan akan timbul.

“Tapi yang khusus berkaitan RUU anti lompat parti, tentunya penangguhan pembentangannya akan dikaitkan dengan kehadiran menteri-menteri 'katak' dalam jemaah menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dia berkata ‘katak’ ini termasuk seperti Azmin Ali, Hamzah Zainudin, Latif Ahmad, Mustapha Mohamed, Zuraida Kamaruddin dan Mas Ermieyati Samsudin - yang semua mereka adalah dari Bersatu.

“Tentunya mereka tidak berminat dengan undang-undang yang akan 'mengharamkan' tabiat politik mereka.

“Jadi Bersatu tidak setuju adanya RUU ini.

“Bersatu pula bersama PAS dalam PN. Takkan PAS tak bantu rakan seperjuangan dalam PN?

Kalau PN tak setuju, mana mungkin jemaah menteri boleh luluskan RUU ini,” kata Shahrir.

Pada 13 Sept lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah menandatangani memorandum persefahaman dengan pemimpin utama Pakatan Harapan di Parlimen.

Ismail Sabri berkata pentadbirannya akan membawa "transformasi" yang akan menyaksikan negara diurus dengan lebih baik yang seterusnya membantu perjuangan negara melawan Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

Pembaharuan lain yang dipersetujui kedua-dua pihak termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada tidak lebih 10 tahun, senarai reformasi parlimen, memastikan kebebasan kehakiman dan mengukuhkan rancangan Covid-19 negara.