Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bubar saja MPN jika tak mahu ikut -  Guan Eng

Lim Guan Eng (PH-Bagan) mencadangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibubarkan sekiranya kerajaan tidak mengguna pakai syor-syor yang dikemukakan badan itu dalam menentukan dasar pemulihan Covid-19. 

Memberikan contoh pembukaan sempadan negara yang berkuat kuasa 1 April, kata Lim, tarikh pelaksanaan itu berbeza daripada syor MPN agar sempadan negara dibuka bermula 1 Mac bagi menyokong pemulihan negara. 

“Memandangkan cadangan daripada MPN adalah untuk buka pada 1 Mac, tapi hanya pada 1 April (dibuka sempadan), menimbulkan (persoalan), adakah cadangan dan syor-syor yang dibuat MPN diterima oleh pihak kerajaan (ataupun tidak)? 

“Sekiranya tidak, lebih baik MPN dibubarkan sama sekali.

“Kerana kita lihat dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU), perubahan dasar berkaitan dengan ekonomi diumumkan perdana menteri dalam satu persidangan parti politik, bukanlah berdasarkan apa-apa syor yang dibuat oleh MPN. 

“Saya rasa ini menunjukkan (persoalan) - apakah ini (MPN) berfungsi dan berkesan lagi?” soalnya di parlimen.

Lim Guan Eng

Dia bertanya demikian kepada timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) dalam tambahan ketika waktu pertanyaan menteri.

MPN dibentuk Julai tahun lalu ketika negara mengharungi wabak Covid-19, bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang diasaskan perdana menteri kelapan, Muhyiddin Yassin. 

Muhyiddin juga merupakan pengerusi MPN. 

Pada PAU 2021 yang melabuhkan tirai 19 Mac lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob beberapa pengumuman dasar. 

PM ketika menghadiri PAU

Antaranya, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bermula Mei, pembekuan akaun lelaki yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri bagi memastikan kepentingan dan hak wanita.

Menjawab soalan tersebut, Mastura berkata tarikh pembukaan semula sempadan negara diputuskan kerajaan setelah melakukan kajian, dengan mengambil kira faktor untuk merancakkan ekonomi khususnya industri pelancongan serta kadar vaksinasi lengkap.

Atas faktor itulah, kata Mastura, kerajaan membuat keputusan untuk memulakan fasa peralihan pada 1 April dengan melonggarkan sekatan-sekatan tertentu.

“Mengenai hal-hal berkaitan pada pengumuman di PAU, perdana menteri mempunyai prerogatif untuk mengumumkan apa saja pengumuman di mana-mana forum yang beliau rasa sesuai. 

“Semestinya beliau juga telah mengumumkan banyak perkara mengenai peralihan ini ketika beliau membuat sidang media ketika mengumumkan fasa tersebut,” katanya lagi.