Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS tak puas hati pemimpin dilabel 'tiga jahanam'

PAS tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pemimpin Umno yang melabelkan tiga pemimpin kanan parti itu sebagai "jahanam".

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga menganggap label tersebut sebagai melampau.

Katanya PAS tidak dapat menerima pemimpinnya digelar sebagai "tiga jahanam" malah Umno wajar bersikap menghormati semua parti politik.

"Saya menolak kenyataan itu (tiga jahanam) yang saya anggap sebagai melampau.

"Kita hormati semua parti politik, (dalam masa sama) tak bolehlah kita label dan kita letak istilah (kurang baik)," katanya seperti dipetik BH Online.

Pada 19 Mac lalu Ketua Penerangan Umno Kelantan berkata parti itu tidak patut menjalankan kerjasama dengan PAS selagi ada "tiga jahanam" dalam parti tersebut.

Tiga pemimpin yang dimaksudkan Zawawi Othman ialah Mereka Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Mohd Amar Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.

Untuk rekod Abdul Hadi juga merupakan ahli parlimen Marang yang dilantik kerajaan menjadi duta khas bertaraf menteri. Dia baru-baru ini melabel Umno sebagai itik patah kaki yang mahu 'berenang' sendiri selepas dibantu untuk pulih.

Menyampaikan perbahasannya sempena Perhimpunan Agung Umno 2021, Zawawi Othman berkata tiga pemimpin terbabit digelarkan begitu kerana dirasakan “bermulut jahat.”

Kata Tuan Ibrahim Umno tidak patut mencampuri urusan PAS termasuk melabel oranglain.

"Tak perlu kita labelkan (orang) seperti itu yang saya rasa tak begitu manis," katanya.

Ahli parlimen Kubang Krian itu berkata demikian di Batu Berendam, Melaka, semalam.