Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekalan makanan: Semua pernah jadi kjaan, semua gagal - MP PKR

PARLIMEN | Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menyifatkan semua ahli parlimen yang pernah berada dalam kerajaan sebelum ini atau sedia ada gagal mewujudkan pengeluaran makanan yang terjamin untuk rakyat.

Ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini, dia membangkitkan isu bekalan ayam yang mencapai tahap kritikal di negara ini.

Menurutnya, kesalahan tersebut tidak sewajarnya diletakkan 100 peratus terhadap kerajaan sedia ada.

“Semua dalam dewan ini pernah jadi kerajaan. Jadi tak boleh nak salahkan kerajaan yang ada sekarang.

“Semua ni (ahli parlimen) bertanggungjawab bahawa kita gagal. Kita terpaksa akui kita gagal mewujudkan pengeluaran makanan yang terjamin - makanan (berkaitan bekalan) ayam ini.

“Bukan nak buat roket, bukan nak buat kapal terbang. Kita nak pengeluaran ayam. (Tapi) kita gagal,” katanya.

Katanya, meskipun pelbagai faktor luaran boleh mempengaruhi isu mengimport makanan ayam (dedak), seperti cuaca, bencana, perang di antara Rusia dan Ukraine, tetapi ia tidak berlaku di negara-negara Asia Tenggara lain.

“Persoalannya kenapa negara-negara yang lain di Asia Tenggara ini boleh mengeluarkan ayam dan boleh eksport ke negara kita sehingga kita terpaksa keluarkan AP (permit import) untuk beli daripada mereka.

“Jadi, ini adalah tanggungjawab kita bersama. Maknanya kita kena hadapi ini, kita kena selesaikan, industri ayam yang lumpuh sekarang.

“Saya sokong undang-undang ini, pindaan ini tapi saya percaya penyelesaiannya lebih setakat hanya kita membuat pindaan,” katanya.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini memaklumkan isu kekurangan bekalan ayam dalam pasaran bermula sejak Oktober tahun lalu, apabila pengeluaran daripada ladang tempatan tidak mencapai kadar keperluan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ahmad Hamzah, berkata data Jabatan Veterinar menunjukkan jumlah pengeluaran ayam bagi tiga bulan terakhir tahun lalu, tidak mencapai jumlah purata keperluan ayam di negara ini.