Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Unit khas polis siasat 12 kematian dalam tahanan sejak Jan

PARLIMEN | Unit Siasatan Jenayah Mengenai Kematian Dalam Tahanan (USJKT) di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah melaporkan 12 kes sedemikian dalam masa dua bulan lalu, menurut Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Dalam jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Hamzah berkata bahawa unit khas itu menerima 12 laporan dari 1 Januari hingga 28 Februari tahun ini.

Daripada 12 jumlah kematian yang dilaporkan, lima kematian berlaku dalam lokap.

Tujuh kematian lain termasuk satu kes kematian mangsa dalam perjalanan ke hospital dan enam kes meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Daripada kesemua kes ini satu kes kematian tahanan yang berlaku di Taiping telah membawa kepada penahanan dua Orang Kena Tahan (OKT) dan dua anggota polis telah dituduh di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah manakala enam kes lagi kertas siasatan dalam proses untuk dimajukan kepaada timbalan pendakwa raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” kata Hamzah.

Unit khas itu - yang pertama kali diumumkan pada 6 Dis 2021 - mula beroperasi pada 1 Januari tahun ini.

Menteri dalam negeri berkata pasukan itu terdiri daripada 12 anggota polis dan seorang kakitangan awam.

Semua kematian yang melibatkan tahanan akan dikendalikan oleh unit khas itu.