'PAS tak perlu jadi hero isu pekerja wanita pakai tudung'
PARLIMEN | Hanipa Maidin (PH-Sepang) mendakwa bahawa ahli parlimen PAS yang membangkitkan isu kebenaran pekerja wanita memakai tudung di tempat kerja seolah-olah tidak membaca pindaan Akta Kerja 1955 dengan konteks yang menyeluruh.
Menurutnya, dalam peruntukan pindaan akta tersebut telah menyatakan berhubung “sebarang diskriminasi pekerjaan” dan ia perlu dilihat dengan meluas, di mana ia termasuk diskriminasi terhadap kebenaran pekerja wanita untuk bertudung.
“Kalaulah Seksyen 69F ini dibaca dengan lebih harmoni (lebih meluas), saya percaya perlindungan ke atas pekerja-pekerja yang memakai tudung boleh dilindungi di bawah seksyen ini.
“Jadi saya rasa pihak PAS tak perlulah menjadi hero untuk mengatakan seolah-olah kerajaan PH tidak.. (mengambil berat),” katanya ketika perbahasan pindaan Akta Kerja 1955 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pindaan undang-undang itu, di bawah larangan diskriminasi menyatakan bahawa Fasal 30 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 69F.
Ini bertujuan memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja untuk menyiasat sebarang aduan berhubung diskriminasi dalam pekerjaan dan membuat apa-apa perintah atau keputusan berhubung dengan aduan tersebut selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Diskriminasi Dalam Pekerjaan 1998.
Terdahulu, Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) dalam sesi perbahasannya mengulas isu tersebut dengan membidas Pakatan Harapan.
Dakwanya, meskipun pindaan akta itu hampir sepenuhnya didraf sewaktu pentadbiran PH, tapi isu diskriminasi berhubung pemakaian tudung oleh pekerja wanita di tempat kerja seakan tidak diendahkan.
“Saya cuba mencelah semasa perbahasan yang dibuat oleh Ipoh Barat (M Kulasegaran) tadi, di mana Ipoh Barat menyatakan bahawa keseluruhan, hampir 100 peratus pindaan yang dibuat pada kali ini adalah didraf semasa Pakatan Harapan sebelum 2020 yang lalu.
“Dan apa yang saya dapat lihat di sini, bahawa baik semasa PH mentadbir negara mahupun selepas berlaku perubahan kerajaan ini, isu yang dibangkitkan oleh Pasir Mas ini, iaitu memberikan hak kepada pekerja wanita untuk melaksanakan tuntutan agama nampaknya tidak diberi perhatian oleh kerajaan,” kata Che Abdullah.
Isu tersebut pada awalnya dibangkitkan oleh Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak membenarkan pekerja wanita untuk bertudung.
Ketika Hanipa meneruskan perbahasannya itu, Che Abdullah kemudian mencelah, berkata PH cuma melihat isu kebenaran pemakaian tudung di tempat kerja itu sekadar isu kecil sahaja.
“Kita melihat isu hak melaksanakan tuntutan agama. Ini merupakan perkara yang besar dan PH melihat kecil, sebagai pakai tudung saja dan mungkin sebahagiannya tak merasakan menutup aurat tu penting,” kata Che Abdullah.
Hanipa kemudian membalas dengan nada menyindir, mengatakan penjelasannya sebelum ini mungkin “agak tinggi” untuk difahami oleh Che Abdullah.
“Terima kasihlah pada Tumpat. Daripada soalan Tumpat, saya memang percaya dan nampak, YB memang tak begitu faham dengan apa yang saya terangkan.
“Saya maafkanlah YB, mungkin bermasalah untuk memahami apa yang saya sebutkan. Mungkin ini perkara yang agak tinggi yang YB susah nak fahamkan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai