Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sidang DUN N Sembilan tangguh, speaker dan timbalan positif Covid-19

Persidangan pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ke-14 ditangguhkan ke suatu tarikh baru berikutan Yang Dipertua DUN Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Timbalan Datuk M Ravi disahkan positif Covid-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malik telah menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi memaklumkan perkara itu serta mendapatkan perkenan penangguhan persidangan kali ini, pagi tadi.

Beliau berkata persidangan DUN negeri itu sepatutnya dijadual bermula hari ini hingga Khamis dimulakan dengan acara perasmian pembukaan persidangan oleh Tuanku Muhriz.

“Selain kedua mereka (Zulkefly dan Ravi), terdapat 23 petugas termasuk ketua jabatan di negeri ini dijangkiti Covid-19. Penangguhan persidangan DUN ini pertama kali berlaku di negeri ini, disebabkan pandemik.

“Jika ikut peraturan, Yang Dipertua DUN sementara boleh dilantik tetapi memandangkan ramai petugas dewan dijangkiti Covid-19 jadi persidangan terpaksa ditangguhkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aminuddin berkata selain itu terdapat Rang Undang-Undang (RUU) Pemegangan Tanah Adat 2022 dan Penggubalan RUU Majlis Perbandaran Jempol 2022 akan dibentangkan pada persidangan kali ini dan memerlukan kehadiran Yang Dipertua DUN dan Timbalannya itu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga mendapat kerjasama daripada Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan bagi menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat untuk memastikan golongan orang kurang upaya itu dapat mengikuti perkembangan persidangan DUN kali ini.

- Bernama