Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suspek kes bunuh, bakar wanita direman lagi 6 hari

Tempoh reman ke atas suspek utama kes bunuh dan bakar seorang wanita di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, yang tamat Sabtu lepas disambung enam hari lagi.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata reman terhadap lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 34 itu, disambung bermula hingga Jumaat ini. 

Beliau berkata setakat ini, polis telah mengambil keterangan 37 individu termasuk suspek utama bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kertas siasatan sudah 95 peratus selesai, dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan. Polis masih menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz," katanya pada sidang media selepas program derma darah sempena Hari Polis ke-215 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini.

Pada 12 Mac lepas, mayat seorang wanita yang berkerja sebagai penyelia kedai buku ditemukan, disyaki dibunuh dan dibakar di dalam bilik bengkel sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras. 

Susulan itu polis menahan seorang pengawal keselamatan lelaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek yang masih bujang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan cabul dan samun. 

- Bernama