Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Zahid, Ismail atau Mohamad - saingan calon PM bermula

Umno dalam perhimpunan agung tahuhannya yang berakhir semalam menetapkan keputusan bahawa bahawa pilihan raya umum mesti berlangsung tahun ini.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai siapakah calon perdana menteri daripada Umno dan BN serta "poster boy" bagi PRU15.

Terdapat tiga calon utama iaitu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya Mohamad Hasan, dan perdana menteri sekarang, Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abidin memberitahu pemberita semalam perkara itu akan dibincangkan oleh lima pemimpin tertinggi itu termasuk dua lagi naib presiden.

Walaupun Ismail dilihat pilihan yang tepat bagi sesetengah pihak, dinamik yang berlangsung dalam parti itu mungkin menyaksikan dia hanya bertahan bagi tempoh sepenggal.

Mengikut amalan biasa, presiden Umno yang juga selaku pengerusi BN merupakan calon perdana menteri.

Bagaimanapun, Zahid dibelenggu kes rasuah dan langkah untuk menjadikan dia sebagai calon perdana menteri tahun lepas dilaporkan gagal mendapat sokongan yang mencukupi.

Sementara itu, Mohamad pula bukan ahli parlimen yang merupakan prasyarat untuk menduduki jawatan tersebut.

Justeru, apabila Umno menumbangkan Muhyiddin Yassin, satu-satunya ahli parlimen paling kanan dan boleh dilantik sebagai perdana menteri ialah Ismail - yang merupakan naib presiden Umno.

Ismail merupakan perdana menteri pertama di Malaysia yang tidak mengetuai partinya sendiri dan oleh itu sukar baginya untuk mempertahankan penggal kedua bagi jawatan berkenaan.

Keputusannya untuk mengikut ketetapan Umno berhubung pilihan raya umum semalam, walaupun dilihat enggan sebelum ini, mungkin akan melemahkan kedudukannya sebagai pencabar utama.

Zahid mungkin mencalonkan diri sendiri bagi jawatan itu dengan menggunakan kejayaan BN di Johor dan Melaka bagi menunjukkan parti itu tidak terjejas dengan kes rasuah yang dihadapinya.

Pengkritik sebelum ini mendakwa Zahid cuba menggugurkan tuduhan rasuah terhadapnya dan disebabkan itu dia perlu menduduki jawatan tertinggi berkenaan.

Walaupun tidak popular di kalangan ahli-ahli parlimen Umno, sebagai presiden Zahid boleh menyusun semula majlis kerja tertinggi dengan meletakkan penyokongnya bagi mendapatkan sokongan yang mencukupi agar dia dilantik sebagai perdana menteri.

Peluang itu bagaimanapun, mungkin tersekat jika dia disabitkan bersalah sebelum PRU.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, individu yang disabitkan bersalah tidak boleh bertanding dalam pilihan raya walaupun tidak dipenjarakan dan merayu kes mereka.

Begitu juga hal yang sama membabitkan Najib Razak - walaupun sabitan di Mahkamah Rayuan ditangguhkan - yang boleh memberi laluan kepadanya untuk bertanding pada PRU 15.

Kes rasuah terhadap Zahid sekali gus menjadikan presiden Umno itu sebagai calon berisiko untuk jawatan perdana menteri.

Di sinilah muncul timbalannya sekarang, Mohamad Hasan.

Terdapat spekulasi yang kuat mengatakan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mengintai jawatan perdana menteri dan jawatan presiden Umno.

Zahid malah mengusik Mohamad semasa perhimpunan agung Umno semalam.

Mohamad pernah memangku jawatan presiden Umno antara Dis 2018 dan Julai 2019 apabila Zahid terpaksa berehat selepas ada pimpinan parti itu berpaling tadah dan melompat ke parti lain.

Di bawah penguasaan Mohamad, Umno mula bangkit semula dengan mencatat tiga kemenangan dalam pilihan raya kecil di Cameron Highlands, Semenyih, dan kerusi DUN Rantau sendiri.

Dia juga tidak dibebani dengan tuduhan rasuah, menjadikannya calon yang lebih layak berbanding Zahid.

Memperoleh jawatan perdana menteri juga akan memudahkan usaha Mohamad untuk menjadi presiden Umno apabila pemilihan parti diadakan selepas PRU15.

Zahid, bagaimanapun, boleh memutuskan untuk menyokong Ismail bagi penggal kedua jika dia mahu mengecewakan Mohamad - yang semalam disindirnya berpeluang menjadi perdana menteri pada PRU16.

Zahid secara tersisat semalam memberitahu bahawa apapun keputusan itu boleh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Apabila tiba masanya, sudah pasti. kami mempunyai calon kami tetapi seperti yang anda tahu di Johor apabila poster boy kami adalah Hasni Mohamad tetapi anda tahu (apa yang berlaku).

"Saya fikir untuk PRU akan datang ini, seperti yang anda tahu (PM sekarang) ialah Ismail.

“Tetapi saya tidak fikir 'poster boy' itu bahan untuk kita promosikan sekarang.. atau nanti... kerana terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan," katanya kepada sidang media selepas menutup perhimpunan agung Umno.

Pada pilihan raya negeri Johor, Pengerusi Umno negeri Johor Hasni Mohamad dinamakan sebagai calon menteri besar daripada BN.

Bagaimanapun, usaha itu terhalang selepas "kuasa lebih tinggi" dilaporkan memilih ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi untuk jawatan menteri besar selepas BN memenangi negeri berkenaan.

Onn Hafiz akhirnya mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

Laporan oleh Haspaizi Zain, Kow Gah Chie, M Fakhrull Halim, dan Raveena Naotra.