Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Bincang isu bubar parlimen lepas tamat MOU dengan pembangkang'

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan meminta supaya pilihan raya umum diadakan selepas bulan Julai sebaik perjanjian persefahaman (MOU) antara kerajaan dengan pembangkang berakhir.

Mohamad berkata pilihan raya umum wajar diadakan segera ketika rakyat gembira dengan beberapa pengumuman yang dibuat kerajaan.

"Jangan kita tunggu lama-lama biar orang (rakyat) seronok dulu dua tiga bulan orang dapat (apa yang kerajaan umumkan) kita panggillah (pilihan raya).

"Dan sebagai pemimpin yang telah berjanji untuk bersefahaman dengan pembangkang sampai bulan tujuh kita lakukanlah (sampai) bulan tujuh.

"Dan kalau boleh selepas itu kita bincang, biar kami berlima (permimpin tertinggi Umno) bincang," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpun Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam ucapannya Mohamad turut mengumumkan bahawa usul penangguhan pemilihan parti juga telah diluluskan.

Usul berkenaan membolehkan pemilihan Umno diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum ke-15 diadakan.

"Selaku pengerusi jawatankuasa pengurusan, saya perlu mengambil tindakan untuk memastikan apa yang sudah diputuskan ini akan digerakkan dan diambil segala tindakan segera.

"Keputusannya ialah pemilihan parti akan ditangguhkan enam bulan selepas daripada pilihan raya umum," katanya.