Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Zafrul perlu jelaskan peningkatan ekuiti Bumiputera dalam kerja 5G'

DAP hari ini menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menjelaskan sama ada negara ini telah melaksanakan dasar baru secara unilateral berhubung kuota Bumiputera bagi projek-projek besar kerajaan.

Ini susulan Zafrul memaklumkan pada sidang media beberapa hari lalu bahawa kerajaan akan mengekalkan model rangkaian borong tunggal (SWN) untuk rangkaian telekomunikasi mudah alih 5G.

Kata Zafrul, penyedia perkakasan rangkaian yang dilantik iaitu Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd telah merangka pelan pelaksanaan dengan mengoptimumkan kerja kontrak dan perkhidmatan bagi vendor tempatan, dengan anggaran 61 peratus daripadanya dapat memanfaatkan kepentingan Bumiputera.

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan persekutuan perlu menjelaskan sekiranya terdapat perubahan dasar yang besar, kerana tindakan itu hanya perlu dilakukan dengan merujuk semua pihak berkepentingan terlebih dahulu.

"Kerajaan harus menjelaskan kenaikan ini kepada 61 peratus kepentingan Bumiputera, sama ada ini kini menjadi penanda aras baru untuk kontrak perolehan utama kerajaan. Bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kerajaan BN sebelum ini telah menetapkan kepentingan Bumiputera dan penyertaan vendor tempatan pada kadar 40 peratus.

"Syarikat Bumiputera masih boleh membida untuk bahagian bukan Bumiputera melalui tender terbuka. Untuk berkembang secara unilateral kepada 61 peratus, perubahan dasar utama harus dilakukan dengan berunding penuh bersama semua pihak berkepentingan, kerana ia melibatkan isu keadilan, menggalakkan daya saing dan sama ada ia membantu ke arah kesamarataan,” katanya.

Kepentingan Bumiputera

Pada 16 Mac, Zafrul dilaporkan berkata pelaksanaan model SWN itu akan memastikan tiada implikasi kewangan tambahan ke atas kontrak yang telah termeterai dengan Ericsson.

Dia berkata pengekalan model SWN merupakan pendirian tegas kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia.

Sementara itu, Lim dalam kenyatannya turut mendakwa syarikat penghantaran barang yang telah beroperasi sejak sebelum 1990 itu juga diancam terpaksa menyerahkan pengawalan ke atas syarikat mereka.

Menurut bekas menteri kewangan itu, sebelum ini terdapat percubaan untuk meningkatkan dasar ekuiti Bumiputera ke atas syarikat tersebut kepada 51 peratus ketika Pakatan Harapan mentadbir, tetapi kementerian kewangan telah bersetuju bahawa ejen fret (freight forwarder) yang telah diberikan lesen sebelum tahun 1990 tidak akan kehilangan kuasa kawalan ke atas syarikat mereka dan melupuskan mengurangkan saham mereka demi mematuhi ketetapan 51 peratus ekuiti Bumiputera.

Syarikat yang dikeluarkan lesen selepas tahun 1990 masih diwajibkan memiliki 51 peratus ekuiti Bumiputera.

"Dan kini terdapat penanda aras baru sebanyak 61 peratus. Bolehkah kerajaan atau presiden MCA, MIC dan menteri GPS menjelaskan bila ia diluluskan dalam kabinet?” soalnya.