Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas pesuruhjaya Suhakam dilantik wakil baru M'sia ke AICHR

Bekas Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Dr Aishah Bidin dilantik sebagai Wakil Malaysia yang baru ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2022-2024.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini berkata beliau menggantikan Eric Paulsen yang berkhidmat untuk tempoh tiga tahun dari 2019-2021.

“Dengan pengalaman luas beliau dalam bidang hak asasi manusia, kerajaan yakin Dr Aishah mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dalam mempertahan dan mengetengahkan kepentingan Malaysia berhubung isu-isu hak asasi manusia melalui AICHR.

Pelantikan itu juga merupakan manifestasi iltizam kerajaan yang jelas dalam memperkenalkan serta melindungi isu-isu hak asasi manusia dan kebebasan asas dalam agenda utama Asean menerusi AICHR,” kata Saifuddin dalam kenyataan itu.

Dr Aishah merupakan Felo dan Profesor Undang-undang Korporat dan Insolvensi di Akademi Sains Malaysia dan merupakan mantan Profesor Undang-undang Korporat dan Insolvensi di Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai anggota Jawatankuasa Pembaruan Undang-undang Korporat Malaysia (CLRC), ahli Jawatankuasa Semakan Undang-undang Kebankrapan dan Insolvensi Korporat Malaysia di bawah Jabatan Insolvensi, Jabatan Perdana Menteri, serta sebagai mantan Dekan Fakulti Undang-undang UKM dan bekas penasihat undang-undang UKM Holdings.

Saifuddin berkata kerajaan menghargai jasa dan dedikasi Paulsen sebagai Wakil Malaysia ke AICHR sepanjang tiga tahun lalu.

AICHR yang ditubuhkan pada 2009 di bawah Perkara 14, Piagam Asean merupakan antara cabang Asean dengan mandat menyeluruh dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.

Sebagai sebuah badan antara kerajaan yang bertanggungjawab secara langsung kepada Menteri-Menteri Luar Asean, AICHR memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kerjasama hak asasi manusia dengan cabang-cabang Asean yang lain, badan-badan sektoral Asean dan pihak luar yang berkaitan.

- Bernama