Adun Melaka mohon maaf buat Zahid terasa hati isu 'dinosaur'
PAU 2021 | Adun Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh memohon maaf kepada Ahmad Zahid Hamidi berhubung salah faham hantarannya tentang “dinosaur politik” yang dikatakan membuatu presiden Umno itu terasa hati.
Memberi julukan "sebenar-benar Mr Gentlemen” kepada Ahmad Zahid, Akmal berkata, meskipun berlaku salah faham di antara mereka berdua, pemimpinnya itu tidak pun menyimpan dendam ke atasnya.
Bahkan kata Akmal, dia diberikan laluan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka tahun lalu.
“Secara peribadi, saya sendiri pernah naikkan hantaran dalam Facebook saya. Hantaran ini secara umum, yang saya cerita pasal dinosaur politik. Sejujurnya, hantaran itu tak ada kena mengena dengan ayahanda presiden.
“Tapi saya dapat maklumat, ayahanda presiden terasa hati dengan hantaran tersebut walaupun hantaran itu bersifat umum. Sebenarnya saya tak tuju kepada siapa-siapa. Saya mohon maaf pada ayahanda jika ada terasa hati.
“Tetapi ayahanda presiden kita ni, cool dan relaks saja walaupun dia sakit hati dengan saya. Paling penting, ayahanda presiden ini langsung tak menyimpan dendam.
"Kalau dia simpan dendam, sudah semestinya Pemuda (Umno) tak diberikan kerusi lebih (di Melaka) [...] daripada dulu satu ke dua kerusi Pemuda, presiden bagi empat.
“Kalaulah ayahanda presiden ini simpan dendam pada saya yang mulutnya sangat celupar, saya pun tak dapat jadi calon. Inilah kehebatan ayahanda presiden. Inilah sebenar-benarnya Mr Gentleman Umno,” katanya.
‘Baham’ dua PM
Dia berkata demikian ketika berucap membahaskan ucapan dasar presiden dalam Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Ahmad Zahid sempat dirakam kamera tersenyum lebar mendengarkan ucapan Akmal itu.
Akmal merupakan antara pemimpin Umno - ketika itu naib ketua Pemuda Umno Melaka - yang menggesa Ahmad Zahid agar berundur dari jawatan tertinggi parti sejak 2018, bagi membolehkan urusan pemulihan parti dilakukan.
Dia pernah menyelar Ahmad Zahid kerana dikatakan tidak mampu menangani isu wakil rakyat lompat parti - kebanyakannya menyertai Bersatu - dan tidak boleh diharap untuk memulihkan parti, selain menuntut nakhoda Umno yang baru.
Ketika itu, Umno sedang bergelut dengan kekalahan teruk yang dialaminya pada PRU ke-14, yang menyaksikan ia tumbang buat julung-julung kali dalam sejarah politik negara.
Pun begitu, kata Akmal, hantarannya mengenai dinosaur itu ada juga benar pada sebahagiannya.
Hal itu kerana, tambah Akmal, di bawah kepemimpinan Ahmad Zahidlah dua perdana menteri dari Bersatu - Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin - berjaya digulingkan.
“Sebab apa? Disebabkan kedinosauran inilah ayahanda presiden berjaya ‘membaham’ dua perdana menteri daripada Bersatu.
“Yang tu saya tak tarik balik, yang lain saya tarik balik,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai