Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dr M: Pejuang terus berjuang lepas kalah teruk di Johor

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya akan mengukur semula perjuangan parti itu untuk turut memberi tumpuan kepada isu kehidupan sehari-hari rakyat dan bukan sahaja kepada rasuah.

Ini selepas parti pimpinan bekas perdana menteri itu kalah teruk dalam pilihan raya negeri Johor baru-baru ini.

Pejuang tewas di semua 42 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya mengejut Johor sehingga parti itu kehilangan wang pertaruhan.

"Kita sebulat suara pada peringkat biro politik dan majlis eksekutif untuk meneruskan perjuangan kita, walaupun Pejuang kalah teruk sehingga tiada satu pun deposit dapat diselamatkan ketika PRN Johor.

"Kita juga sudah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan kekalahan itu.

"Antaranya, Pejuang terlampau tertumpu kepada isu membanteras rasuah sehingga kurang menekankan masalah yang dihadapi oleh rakyat seperti isu pengangguran dan tidak cukup makan," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya jika Pejuang akan mencari rakan kongsi untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang bersama-sama, Dr Mahathir berkata cadangan itu akan dikaji secara menyeluruh terlebih dahulu.

Jelasnya, dia mengambil maklum bahawa terdapat juga cadangan beberapa parti pembangkang supaya semua pembangkang bersatu, kerana jelas kekurangan kerjasama mereka menyebabkan parti-parti yang melawan Umno-BN dalam pilihan raya tewas.

Dr Mahathir menegaskan bukanlah pembangkang tidak mempunyai sokongan yang mencukupi kerana katanya, BN berjaya memenangi dua pertiga daripada kerusi di Johor walaupun dengan hanya 35 peratus daripada jumlah bahagian undi yang diraih gabungan itu dalam pilihan raya.

BN adalah kerajaan minoriti sebenarnya tetapi kerana perpecahan di kalangan parti pembangkang, mereka telah menjadi kerajaan majoriti dengan kuasa penuh untuk meminda perlembagaan, katanya.

[Baca berita penuh]