Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

AKSB digesa tangani masalah air di Gua Musang

Sebuah NGO menggesa Air Kelantan Sdn Bhd untuk segera menangani gangguan bekalan air yang berlaku di daerah Gua Musang, Kelantan.

Pengerusi Persatuan Wira Air Mohamed Hilmi Che Ramli berkata pihaknya mewakili Forum Air Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) menerima aduan pengguna di Bandar Gua Musang berkenaan gangguan air yang kerap berlaku di sana.

"Forum Air telah menerima aduan berlakunya kekerapan terputus bekalan air di kawasan tersebut sejak Januari 2022. Forum Air mengambil serius permasalahan yang berlaku kerana selain melibatkan jumlah akaun yang banyak, hospital dan pejabat kesihatan daerah turut terlibat.

"Berdasarkan laporan yang diterima, gangguan air kali ini berlaku disebabkan beberapa faktor yang telah dikenal pasti antaranya berlaku kerosakan pada “boost pump” bandar utama Gua Musang (BUGM) Fasa 2 yang telah berlaku sejak awal tahun 2021," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Selain itu, Mohamed Hilmi berkata kebocoran dalaman pada projek perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak pertengahan tahun lepas selain penggunaan paip baru PVCO 10 inci di kawasan Taman Wangi sehingga Jambatan Cindai menyebabkan aliran tinggi di kawasan tersebut sehingga mengganggu aliran di kawasan lain dalam Bandar Gua Musang.

Dakwanya, hal ini menyebabkan 3,122 akaun pengguna terpaksa dicatu termasuk pejabat kesihatan daerah dan kawasan sekitarnya.

"Pihak Forum Air ingin menyatakan kekecewaan dan kekesalan terhadap isu ini kerana walaupun permasalahan telah dikenal pasti sejak tahun 2021, masalah bekalan air ini masih berlanjutan sehingga memberi kesan kepada pengguna.

"Penyelesaian yang konkrit dan tuntas sepatutnya diambil oleh pihak AKSB dalam menoktahkan isu ini. Pelaksanaan penyelesaian jangka pendek dan sederhana yang dinyatakan oleh AKSB sepatutnya mampu menyelesaikan sedikit sebanyak permasalahan ini yang telah berlarutan sejak sekian lama.

"Justeru, pihak Wira Air menggesa Span selaku badan penyelia untuk campur tangan secara serius bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi lanjut daripada pihak AKSB susulan perkara berkenaan.