Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Lanjutkan usia persaraan ke 65 tahun untuk tambah simpanan KWSP'

Kerajaan digesa untuk melanjutkan had usia persaraan dari 55 tahun kepada 65 tahun, susulan kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kali keempat.

Pengarah Komunikasi Wanita PKR Loh Ker Chean berkata ia selaras dengan syor Bank Dunia pada akhir 2020.

Loh berkata, lanjutan itu untuk meningkatkan simpanan KWSP pencarum ekoran hampir 50 peratus pencarum kini mempunyai baki simpanan tidak sampai RM10,000.

"Kerajaan digesa mempertimbangkan dasar baru, iaitu melanjutkan usia persaraan kepada umur 65 seperti yang disyorkan oleh Bank Dunia.

"Bank Dunia mencadangkan agar umur persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun secara berperingkat untuk meningkatkan simpanan KWSP pencarum dan secara tidak langsung meningkatkan KDNK 0.3 peratus setiap tahun.

"Selain itu, kerajaan harus menggalakkan industri pekerjaan swasta dan awam mewujudkan perjawatan kerja sambilan untuk meningkatkan penglibatan pekerja yang berusia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 dibenarkan bagi meringankan beban rakyat yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ia walaupun Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum ini dilihat keberatan untuk membenarkan pengeluaran tersebut.

Kata Ismail, ia merupakan satu keputusan sukar kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini.

KWSP pula berkata inisiatif pengeluaran khas terbaru itu patut menjadi skim pengeluaran terakhir.

Menurut badan itu, sejumlah RM101 bilion sudah dikeluarkan menerusi tiga kebenaran pengeluaran sebelum ini.