Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib mungkin mahu tangguh bon RM5 bilion TIA - Bekas pengarah 1MDB

Seorang bekas pengarah 1MDB memberi keterangan hari ini bahawa dia mungkin tersilap mengenai persoalan apakah Najib Razak mahu meneruskan bon kontroversi bernilai RM5 bilion.

Ismee Ismail berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Najib, Hariharan Tara Singh dalam perbicaraan berkaitan penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB membabitkan bekas perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata andaiannya mengenai bekas menteri kewangan itu mungkin salah.

Jawapan Ismee itu dibuat selepas Hariharan hari ini menunjukkan di mahkamah surat yang dikatakan daripada Istana bertarikh 28 Mei 2009.

Surat itu dikatakan menyatakan bahawa Najib telah bersetuju untuk menangguhkan pengeluaran Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion oleh Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), sementara menunggu usaha wajar (due diligence) berhubung perkara itu.

Ditubuhkan pada Feb 2009, TIA dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan, dengan Sultan Terengganu yang kemudiannya menjadi Yang di-pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai pemilik majoriti.

TIA kemudiannya dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada Julai 2009, dan dinamakan semula sebagai 1MDB.

Dalam prosiding lalu di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, Ismee memberi keterangan bahawa pada 22 Mei 2009, Najib telah mempersoalkan mengapa Ismee dan Ketua Pegawai Eksekutif TIA ketika itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi bersetuju untuk menangguhkan pengeluaran IMTN bernilai RM5 bilion.

Dalam prosiding sebelum ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Shahrol yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan memberi keterangan mengenai masalah itu dengan pihak istana, dengan Sultan Mizan mahukan pengeluaran IMTN ditangguhkan. Bagaimanapun, penerbitan bon itu tetap diteruskan.

Shahrol sebelum ini turut memberi keterangan bahawa syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low membeli bon itu dan membuat keuntungan atas angin sebanyak RM74 juta.

Hariharan: Berdasarkan surat yang saya tunjukkan kepada anda, adakah anda bersetuju apa yang anda atau (ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) Shahrol (Azral Ibrahim Halmi) mungkin salah?

Ismee: Mungkin andaian saya salah.

Perbicaraan di hadapan Sequerah ditetapkan untuk disambung semula pada hari Isnin minggu depan.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Selain merupakan bekas perdana menteri, Najib juga pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.