Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bukan letak jawatan, Tengku Zafrul jelaskan ketidakhadiran ke parlimen

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz tampil menjelaskan ketidakhadirannya ke sesi Dewan Rakyat hari ini kerana berdepan hal kecemasan dan bukannya meletak jawatan.

Ia selepas laporan Utusan Malaysia bertajuk "Tengku Zafrul letak jawatan Menteri Kewangan?" susulan ketidakhadirannya di Dewan Rakyat bagi mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2021 (2022).

"Saya ingin merujuk kepada laporan Utusan Malaysia yang bertanya sama ada saya telah letak jawatan. Ini berkaitan dengan pembentangan RUU Perbekalan Tambahan 2021 (2022) oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah di Parlimen.

"Sebenarnya, ini memang berdasarkan perancangan kita. Tahun lepas pun, timbalan menteri kewangan juga yang bentangkan, atau mungkin Utusan Malaysia buat-buat tak tahu, tak ingat atau tak kisah?

"Mereka boleh saja minta pengesahan dari pejabat atau pegawai saya. Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media, gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu media itu melaporkan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) meminta kepastian sama ada Tengku Zafrul sudah meletakkan jawatan atau belum.

Ia susulan kenyataan Tengku Zafrul yang dilaporkan sebelum ini menyatakan dia lebih rela meletak jawatan menteri daripada berkompromi dengan sebarang keputusan melibatkan kementeriannya yang difikirkan silap, termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara sekali.

“RUU Perbekalan ini mesti dibentang atas nama menteri dan diwakili oleh timbalan menteri. Maknanya Tengku Zafrul belum meletakkan jawatan? Sebab beliau pernah menyatakan jika diluluskan pengeluaran KWSP, beliau rela letak jawatan.

"Jadi, semalam perdana menteri telah umumkan perkara ini, adakah dengan ketidakhadiran beliau pada sesi soal jawab menteri beliau belum letak jawatan? Kalau belum, bermakna timbalan menteri tidak boleh mewakili menteri kewangan?" soal Mahfuz di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu Tengku Zafrul menjelaskan, isu ketidakhadiran di Parlimen pada sesi MQT (waktu pertanyaan menteri) pula kerana ada sedikit kecemasan peribadi yang terpaksa diuruskan pada pagi ini, dan perkara ini telahpun dimaklumkan semalam.

"Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai menteri kewangan.

"Mengikut SOP soalan MQT, hanya menteri sahaja yang boleh memberikan jawapan, dan ini bukan pertama kali seorang menteri diminta untuk membacakan jawapan menteri lain. Banyak precedent on this (duluan dalam perkara ini).

"Terima kasih menteri agama (Idris Ahmad) kerana membacakan jawapan saya. Semua soalan tambahan akan saya sediakan jawapan secara bertulis," katanya.