Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahdzir anggap pandangan Mat Hasan tak tepat

PAU 2021 | Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid menyifatkan tidak wajar untuk Mohamad Hasan membuat tanggapan negatif mengenai ahli parlimen Umno yang dilantik menjadi menteri sekarang.

Kata menteri pembangunan luar bandar itu, kenyataan Mohamad adalah tidak tepat memandangkan semua menteri Umno sudah memberikan yang terbaik untuk melunaskan tanggungjawab yang diberikan agar berkhidmat untuk rakyat serta negara.

“Saya fikir kenyataan Tok Mat (Mohamad) itu sendiri tak tepatlah.

"Dia tak boleh ambil dari angle (sudut pandangan) sebagai orang yang di luar. Kami tahu apa yang kami buat, dan kami berusaha, sebab yang penting ialah rakyat.

“[...] Yang penting, tiap-tiap menteri itu dia tahu tanggungjawab dan tugas masing-masing untuk bawa benda yang ada kaitan dengan kementerian (masing-masing).

“[...] Tak wajarlah untuk dia kata begitu kepada menteri,” katanya kepada pemberita selepas melawat reruai pameran kementeriannya sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Malam tadi semasa merasmikan persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, Mohamad menyifatkan prestasi menteri Umno dalam kerajaan Keluarga Malaysia tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan.

Elak jadikan polemik

Kata timbalan presiden Umno itu, meskipun ada yang mencuba sehabis baik, namun “hasilnya tidak menyerlah”.

Dalam ucapan itu juga, Mohamad turut menyifatkan sekarang adalah masa tepat untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan.

Kata Mahdzir, mengadakan PRU adalah suatu isu besar dan harus dibincangkan secara musyawarah dalam kalangan pemimpin parti.

Mengulang nada seorang lagi menteri Umno malam tadi, Annuar Musa, kata Mahdzir, hak membubarkan parlimen adalah hak Yang di-Pertuan Agong setelah dinasihati perdana menteri.

Justeru, kata ahli parlimen Padan Terap itu, isu PRU harus dibincangkan oleh perdana menteri dengan presiden Umno, serta kepemimpinan parti, bukannya dijadikan polemik.

"Kalau kita dah bersetuju nak buat PRU, barulah perdana menteri mempersembahkan cadangan itu kepada Agong. Itu yang terbaik.

"Kita tak payah menimbulkan polemik mengenai bila nak buat PRU, [...] sebab kita menghormati hak Agong.

“Kita bincang dulu, kemudian kalau kita dah setuju, kita bawalah (kepada Agong). Itu penyelesaian terbaik. Tak payah bising-bising. Riuh-rendah sekampung tak guna,” katanya lagi.

Semalam, Annuar juga menyifatkan Mohamad tidak patut membincangkan isu tarikh PRU secara terbuka kerana ia hak Agong dan merupakan strategi parti.

Menteri komunikasi dan multimedia itu turut menzahirkan rasa kurang senang terhadap kenyataan Mohamad mengenai prestasi menteri Umno dalam kabinet yang didakwa tidak memuaskan.

“Maka saya kata itu pandangan Tok Mat (Mohamad) sebagai orang yang berada di luar kerajaan dan (dia) berhak mengeluarkan pandangannya.

“Saya hanya menganggap ia hanya satu pandangan,” kata Annuar.