Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penarik kereta bebas tuduhan bunuh kontraktor

Seorang lelaki menarik nafas lega hari ini apabila dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Kota Bharu daripada pertuduhan membunuh seorang kontraktor dalam kejadian 11 tahun lalu.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu terhadap Syaiful Afikin Mohd Firus, 46, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut di akhir pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang yang masih bebas didakwa membunuh Saw Yew Siang, 68, di Kampung Pak Jah, Tumpat kira-kira jam lapan malam sehingga 10 malam pada 3 Oktober 2011.

Pendakwaan dibuat mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali.

Sebelum ini media melaporkan Yew Siang ditemui mati dalam keadaan kepala dibungkus dengan kain manakala kedua-dua belah tangan diikat ke belakang di sebuah kebun di Kampung Kubang Palas, Binjai, Kota Bharu.

Mayat lelaki itu dijumpai sepasang suami isteri ketika mereka sedang mengutip sayur-sayuran di kawasan kebun itu.

Sebelum ini Syaiful Afikin juga dilepas dan dibebaskan pada Mei tahun lalu membabitkan pertuduhan memiliki kerambit tanpa kebenaran.

Bagi kes itu, dia didakwa memiliki senjata itu di hadapan kedai runcit, Jalan Rambutan Rendang, Kota Bharu, kira-kira pukul 3.30 pagi, 11 Jun 2018.

Syaiful Afikin didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.