Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'208 kematian di pusat tahanan imigresen sejak 2018'

PARLIMEN | Terdapat 208 kes kematian dalam tahanan imigresen dilaporkan sejak 2018 hingga 15 Februari tahun ini, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said.

Ismail berkata kematian di 18 pusat tahanan imigresen di seluruh negara disebabkan pelbagai komplikasi kesihatan, termasuk 25 kes akibat Covid-19. 

“Sebab kematian termasuk kejutan septik, pneumonia teruk, denggi, batuk kering, jangkitan paru-paru, komplikasi jantung, sesak nafas, kegagalan fungsi organ (dan) 25 kes Covid-19,” katanya ketika menjawab soalan Azalina Othman Said (BN-Pengerang) ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika peringkat awal penularan Covid-19 pada 2020, pihak imigresen menjalankan operasi terhadap golongan imigran, menahan pelancong yang terkandas serta mencatatkan sekurang-kurangnya satu kematian berprofil tinggi.

Ismail berkata lagi, antara langkah yang diambil untuk menambah baik keadaan kesihatan di kalangan tahanan termasuk meletakkan seorang pembantu pegawai kesihatan di setiap pusat, saringan kesihatan, imunisasi untuk tahanan kanak-kanak serta pengurusan penyakit dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah.

Katanya lagi, kementerian juga komited untuk memastikan semua pusat tahanan imigresen menepati piawaian minimum, sama seperti penjara yang turut berada di bawah kuasa kementerian itu.

Permit pekerja asing

Menjawab soalan tambahan daripada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Ismail berkata serbuan Jabatan Imigresen telah menahan warga asing yang ada permit kerja dan menghantarnya ke pusat tahanan untuk proses pengesahan.

“Saya ingin jelaskan semasa operasi Jabatan Imigresen, kita dapati walaupun pas sah, tapi (mereka bekerja dengan) majikan lain. Mereka bekerja di tempat lain (daripada yang dinyatakan di permit). 

Pas (yang dipegang mereka) adalah salinan, bukan yang asal. Jadi ketika operasi, mereka boleh diambil untuk pengesahan,” katanya lagi.