Puteri Umno 'tak gamak sekolam dengan katak'
PAU 2021 | Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan mengucapkan sayonara kepada PAS memandangkan 'kedegilan' parti itu untuk terus bersama dengan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) berbanding Umno di bawah payung Muafakat Nasional (MN).
Katanya, Umno sememangya berharap agar MN - yang dimeterai dengan PAS pada 2019 - untuk terus mekar dan subur. Bahkan dakwa Zahida kerjasama itu 'dirindui' oleh semua umat Melayu dan Islam di negara ini.
Namun kata Zahida, panas tidak berpanjangan apabila hujan turun di tengah hari.
Tambahnya air mata penyokong kedua-dua parti yang mengalir di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semasa kerjasama dua parti itu terjalin tiga tahun lalu, akhirnya menjadi sia-sia.
“Tiada poligami dalam politik. Pilih satu antara dua.
“Bersatu adalah parti picisan Umno, picisan PKR, dan mereka sendiri ada sejarah pengkhianatan dalam kalangan mereka. Mereka bukan taste (cita rasa) kami.
“Kita berkali-kali beritahu PAS - kalau mahu Bersatu, bersatulah kamu. Kalau mahu kami, ayuh, mari bersama kami, tinggalkan Bersatu,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno 2021 di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, sejarah pengkhianatan Bersatu kepada Umno adalah sangat “geli” dan “menjijikkan”, justeru Umno tidak tergamak untuk tinggal sekolam dengan “katak” di dalam Bersatu.
Dia merujuk parti serpihan Umno itu yang rata-ratanya dianggotai oleh bekas ahli Umno yang melompat keluar setelah parti itu tewas buat julung-julung kalinya dalam PRU ke-14 pada 2018.
Mengibaratkan Bersatu mempunyai tabiat seperti “haruan makan anak” dan “kala jengking yang suka menyengat” Zahida berkata, sikap itu tidak akan berubah sampai bila-bila.
“Kalau dah memang tabiat haruan makan anak, selepas ini pun mereka akan tetap makan anak.
"Kalau kala jengking yang tabiatnya menyengat, mereka akan tetap menyengat walaupun siapa pun yang boleh disengat,” katanya.
Meskipun begitu, menurut Zahida, PAS akhirnya lebih rela memeluk “kotak dan kala jengking” dalam Bersatu berbanding bersama Umno yang sama-sama membina “rumah MN”.
“Kalau begitu, apa nak buat? Apa yang boleh kita bagitahu, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya.
“Sayonara PAS! Selamat tinggal PAS. Goodbye PAS!” tegasnya dalam ucapan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai