Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Warga emas tanpa vaksinasi dan booster berisiko tinggi mati’

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengingatkan orang ramai bahawa pemberian dos penggalak kepada warga emas sangat penting terutamanya menjelang Ramadan kerana banyak aktiviti secara berkumpul akan diadakan.

“Mesej ini juga sangat penting menjelang bulan puasa.

“Mungkin orang tua kita tidak ke mana-mana sekarang tetapi tiba Ramadan mereka akan beramai-ramai pergi solat tarawih.

“Elok 'tambah' perlindungan mereka dengan dos penggalak. Kita ikhtiar dan tawakal kepada Allah," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Sementara itu dalam ciapan berasingan, Khairy berkata, warga emas yang tiada vaksinasi atau belum mendapatkan dos penggalak didapati berisiko tinggi untuk meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19.

Katanya, data menunjukkan individu berusia 60 tahun ke atas yang tidak mendapatkan vaksin atau mengambil dos penggalak adalah kumpulan paling tinggi meninggal dunia selepas terkena jangkitan.

“Semalam 105 kematian Covid-19 dilapor. Kapasiti hospital dan ICU (unit rawatan rapi) terkawal. Tapi saya juga mahu kadar kematian terkawal.

“Graf ini jelas. Warga emas yang tiada vaksinasi/booster (dos penggalak) sangat berisiko tinggi mati dari Covid-19. Merayu kepada orang tua anda untuk dapat booster,” katanya.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) pada Ahad lalu menunjukkan pada 2021, sejumlah 11,075 kematian membabitkan warga emas akibat Covid-19 adalah terdiri daripada mereka yang belum menerima vaksin.

Ini berbanding 3,568 kematian bagi mereka yang sudah mendapatkan vaksinasi, manakala hanya 13 kematian direkodkan di kalangan mereka yang sudah mendapatkan dos penggalak.