PRU15: Puteri mahu sebelum kendur, Wanita ambil kira MOU
PAU 2021 | Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda Umno membangkitkan isu pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) dengan pemimpin sayap berkenaan mengambil pendekatan yang sedikit berbeza.
Ketika Puteri Umno bersemangat mahu PRU ke-15 diadakan segera, Wanita Umno pula mengingatkan ahli parti itu agar mengenai memorandum persefahaman yang ditandatangani kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan berkata Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob perlu menyegerakan PRU bagi mengambil peluang semangat yang sedang meninggi sekarang.
Katanya, sebelum 'tonik' yang ada itu menjadi kendur, pembubaran perlu dibuat segera.
"Kita sudah berada di gear keempat, nak masuk gear kelima. Kita nak memecut kereta hingga ke garisan penamat untuk meraih kemenangan paling mutlak bagi menebus maruah kita yang hilang dalam perlumbaan PRU ke-14.
"Jangan lemahkan semangat kami. Kami mahu pecut dan pecut lagi," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar di Kuala Lumpur hari ini.
Zahida juga berkata, jangan ada sesiapa menganggap Puteri Umno sebagai lemah.
"Bahkan kami boleh jadi lebih jantan daripada sesetengah jantan yang ada," katanya.
Sebelah tangan terikat
Sementara itu Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berkata sayap itu memang bersedia menghadapi PRU baru pada bila-bila masa.
Tetapi katanya pada masa sama Umno perlu mengambil kira kesepakatan kerajaan - yang ditandatangani Ismail Sabri - dengan PH.
"Justeru, sebarang tindakan atau keputusan kita hendaklah dibuat secara berhemah, secara matang dan bijaksana.
"Wanita Umno percaya presiden dan majlis kerja tertinggi akan membuat keputusan terbaik mencadangkan masa yang tepat dan sesuai kepada perdana menteri selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
"Saya ingin menegaskan Wanita Umno sentiasa sedia pada bila-bila masa," katanya.
Kebetulan pada ketika itu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut berada di dalam dewan berkenaan.
Untuk rekod Noraini kini berkhidmat sebagai menteri pengajian tinggi.
Sementara itu Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, pula berkata kerajaan yang ada sekarang sangat bergantung kepada ihsan pembangkang dan diugut-ugut parti lain.
Katanya walaupun 'nakhoda' kerajaan kini disandang oleh pemimpin Umno namun sebelah tangannya tetap terikat.
Pada akhir ucapannya Asyraf Wajdi turut menaikkan semangat perwakilan agar bersedia menghadapi PRU yang akan diadakan pada bila-bila masa saja.
Katanya Umno tidak memiliki apa-apa pilihan kecuali memulangkan kembali kepada mandat untuk membentuk kerajaan kepada rakyat.
"Tiada lagi sebarang alasan untuk kita menafikan hak rakyat menentukan kestabilan.
"Tiga pilihan raya negeri di Sarawak, Melaka dan Johor dapat dilaksanakan dengan selamat, tanpa masalah dan penuh ketertiban. Ini sejajar dengan peralihan negara ke arah fasa endemik.
"Sebuah negara demokrasi memerlukan rakyat sebagai kata penentu keabsahan sesebuah kerajaan.
"Hanya dengan mandat baru maka sebuah kerajaan yang teguh dan stabil dapat didirikan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai