Annuar anggap ucapan Mat Hasan pandangan orang luar kerajaan
PAU 2021 | Pemimpin kanan Umno tidak sepatutnya membicarakan mengenai tarikh pilihan raya umum (PRU) secara terbuka, kata menteri Umno Annuar Musa.
Mengulas ucapan timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan, kata Annuar, membincangkan tarikh pilihan raya secara terbuka “tidak kena pada tempatnya”.
Malah kata Annuar, ia hanya akan mencetuskan polemik, lebih-lebih lagi hal itu merupakan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya, manakala perdana menteri hanya berhak untuk memberi nasihat.
“Kerana tidak pernah soal tarikh pilihan raya ini dibincang secara terbuka. Seingat sayalah, ini Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke 41 saya hadir, tarikh pilihan raya tidak diputuskan secara terbuka kerana ia satu strategi parti yang sangat penting,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian persidangan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.
Mohamad memberikan ucapan perasmian pada acara tersebut.
“Apabila dibincang secara terbuka, ia mendahului bidang kuasa Agong. [...] Satu daripadanya (bidang kuasa Agong) ialah menerima atau menolak pembubaran parlimen.
"Jadi soal pembubaran parlimen tak boleh dibincangkan di luar konteks perlembagaan negara.
“Sebab itu pada saya tarikh cepat atau lambat elok dibincangkan pucuk pimpinan secara tertutup dan mengekalkannya sebagai satu strategi parti bukan untuk bercakap secara terbuka," katanya.
Mahu tahu apa yang lemah
Antara aspek yang perlu dibincangkan, tambah bekas setiausaha agung Umno itu lagi, ialah baik dan buruk PRU itu disegerakan atau diawalkan.
Juga katanya apa kesan jika cadangan pembubaran parlimen itu tidak diperkenankan oleh Agong.
"Jadi pada saya tak kena pada tempatnya (untuk PRU dibincang secara terbuka),” katanya.
Dalam ucapannya, Mohamad antara lain menyatakan sudah tidak ada lagi alasan untuk Umno melengah-lengahkan PRU, dan turut mempersoalkan kewajaran pendirian sesetengah pemimpin kerajaan yang cenderung untuk menangguhkan pemilihan tersebut.
Kata Mohamad, Umno tidak boleh terus bergantung pada perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dan memorandum persefahaman (MOU) dengan pembangkang untuk mengurus kestabilan negara.
Jika tidak, katanya, ia bererti Umno bergantung pada ihsan dan simpati parti lain untuk memerintah.
Mengulas lanjut, Annuar turut menyifatkan ucapan Mohamad sebagai “berat”, dan memandangnya sebagai satu “lontaran peribadi” sebagai seseorang yang “berada di luar kerajaan”.
Ditanya bahagian mana daripada ucapan Mohamad yang berat, Annuar berkata: Semuanya heavy (berat). Misalnya dia mengeluarkan kenyataan menyatakan prestasi Umno dalam kerajaan tidak memuaskan. Itu heavy.”
Pun begitu, Annuar berkata ucapan berkenaan mungkin dimaksudkan untuk dijadikan bahan untuk dibahaskan perwakilan, dan ia berupa satu pandangan, bukan dasar.
“Tapi ia satu pandangan yang boleh dibahaskan apabila Pemuda, Wanita dan Puteri membahaskannya esok," katanya yang juga ketua Umno Ketereh.
Kata menteri komunikasi dan multimedia dalam kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Naib Presiden Umno Ismail Sabri itu, ada perkara dalam ucapan tersebut yang dipersetujuinya, dan ada yang tidak dia persetujui.
Dia memberikan contoh apabila Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa prestasi Umno dalam kerajaan kini adalah tidak memuaskan.
“Kalau saya, saya mahu tahu lagi, apa yang dikatakan prestasi Umno dalam kerajaan tidak memuaskan? Berdasarkan kepada apa? Faktanya apa? Dan portfolio mana yang Umno pegang yang dirasakan di bawah par?
“Maka saya kata itu pandangan Tok Mat (Mohamad) sebagai orang yang berada di luar kerajaan dan (dia) berhak mengeluarkan pandangannya. Saya hanya menganggap ia hanya satu pandangan,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai