Isu MB Johor mungkin memanaskan perbahasan PAU
Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, Onn Hafiz Ghazi, selaku menteri besar baru Johor semalam mengundang kejutan besar bukan sahaja dalam kalangan pengundi, bahkan ahli Umno sendiri.
Masakan tidak, sejak mula kempen pilihan raya negeri (PRN) di Johor beberapa minggu lalu, mantan menteri besar Hasni Mohammad yang dipertaruhkan sebagai calon tungngal BN untuk kerusi tertinggi kerajaan negeri dijadikan poster boy gabungan itu.
Lantikan mengejut Onn itu berlaku sehari sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 bermula malam ini, mengundang cakap-cakap dalam kalangan orang politik termasuk Umno, dan dijangka turut melarat ke perhimpunan berkenaan.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Jamaie Hamil menjangkakan isu berkenaan akan menimbulkan perbahasan hangat dalam kalangan perwakilan, meskipun keputusan itu baginya bukanlah berpunca daripada kepemimpinan parti.
“Mungkin akan munculnya perbahasan tentang menteri besar Johor mengenai kenapa boleh berlaku sedemikian.
“Kalau ia hasil percaturan pemimpin kanan dalam Umno di peringkat pusat, saya fikir ia akan menjadi lebih hangat.
"Kalau bukan pun, perkara ini akan menjadi satu perbincangan yang barangkali akan memakan masa untuk diredakan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Tidak panjangkan konflik
Bagi Jamaie sendiri, pelantikan Onn Hafiz itu akan memberi kesan lebih besar buat pengundi BN yang sudah pasti akan berasa sangat kecewa dan seolah-olah tertipu.
Hal itu kerana mereka diuar-uarkan dengan pelbagai janji termasuk untuk menjadikan Hasni sebagai menteri besar dan terbukti akhirnya janji tersebut tergelincir.
Katanya, isu janji parti yang dilihat seolah-olah dimungkiri itu akan menjadi isu yang lebih besar di mata pengundi berbanding siapakah pihak yang sebenarnya menyebabkan pelantikan mengejut itu berlaku.
“Kesalahan diletakkan pada mereka (parti),” katanya.
Oleh yang demikian, kata Jamaie, Umno harus menjadikan PAU kali ini sebagai wadah untuk membincangkan bagaimana caranya untuk memujuk pengundi dan menjelaskan keadaan, bukannya memanjangkan konflik dengan istana - jika ada.
Katanya, apabila menteri besar dilantik daripada calon yang menjadi pilihan istana dan bukannya disebabkan parti atau mana-mana kepemimpinan, ia harus dijelaskan agar dapat mengembalikan keyakinan rakyat yang telah mengundi mereka.
“Apabila adanya pilihan lain daripada pihak istana, setakat hari ini, nampaknya keputusan itu tak dapat dielakkan oleh kepemimpinan Umno sendiri.
"Jadi perbincangan dalam PAU nanti, mereka akan (harus) bincangkan apakah solusinya, jalannya untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
“Dalam PAU itu, saya fikir perkara ini janganlah sampai menimbulkan konflik berpanjangan antara parti dengan pihak istana.
"Apa yang perlu dilakukan ialah bagaimana untuk menjelaskan keadaan yang sebenar kepada pengundi-pengundi mereka sendiri," katanya.
Justeru tambah Jamaie Umno perlu berbincang dengan baik, seumpama menarik rambut dalam tepung - rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
Dengan kemenangan besar dicatat BN pada Sabtu lalu, ia dijangka melalui laluan lancar ke tampuk pemerintahan mengikut perancangan awal.
Namun, keadaan tiba-tiba bertukar petang kelmarin apabila Hasni mengeluarkan kenyataan meminta pucuk pimpinan parti melantik "pemimpin muda" sebagai menteri besar.
Menyebabkan rasa malu
Dia membuat kenyataan tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, serta Pengerusi BN merangkap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Difahamkan ada tiga nama dikemukakan kepada Sultan Johor. Selain Hasni turut dipertimbangkan ialah anggota Majlis Kerta Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dan Onn Hafiz.
Sumber berkata bahawa "kuasa yang lebih tinggi" memihak kepada Onn Hafiz untuk menjadi menteri besar.
Umno dilihat cuba menolak campur tangan yang dikatakan mengganggu rancangan pelantikan semula Hasni, apabila 38 daripada 40 Adun BN Johor dikatakan telah mengemukakan akuan bersumpah (SD) menyokong Hasni sebagai calon tunggal menteri besar.
Lapor FMT, SD itu diserahkan oleh Ahmad Zahid ke istana kelmarin.
Terdapat juga kenyataan tidak puas hati daripada veteran Umno Shahrir Samad yang meluahkan rasa malu kerana telah berkempen untuk BN dan Umno dimenangkan.
Kata bekas ahli parlimen Johor Bahru itu,dia berasa sangat malu untuk ke PAU kerana tidak tahu bagaimana harus berdepan dengan perwakilan nanti.
Untuk rekod, Onn Hafiz ialah cicit kepada pengasas Umno, Onn Jaafar, dan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.
Ada unsur terima pelantikan
Felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Azmi Hassan juga menjangkakan isu pelantikan menteri besar Johor itu akan menjadi hangat semasa PAU nanti.
Namun katanya memandangkan ia juga isu sensitif, justeru perbahasan akan kemungkinan akan dilakukan secara berkias-kias saja.
Kata Azmi lagi pemimpin Umno telah melakukan segala usaha untuk menunaikan janji semasa kempen, termasuk 38 SD bagi menyokong Hasni sebagai langkah terakhir - yang kemudian terbukti masih gagal membuahkan hasil yang diharapkan.
“Walaupun isu ini hangat, ia sensitif dan kemungkinan hanya akan dibahaskan secara berkias, bukan secara langsung menyebut tentang isu ini.
“Tetapi di sisinya, isu ini akan dibincangkan secara terbuka kerana ia menyukarkan parti untuk berkempen dalam PRU ke-15 nanti,” katanya kepada Malaysiakini semalam, terutama dalam soal meraih sokongan bagi calon perdana menteri yang dipertaruhkan BN kelak.
Pun begitu, menilai perkara tersebut bukanlah disebabkan kesalahan kepemimpinan atau konflik dalaman parti, Azmi meramalkan ia tidak akan menjadi api dalam sekam, dan perwakilan akan lebih bersikap terbuka untuk menerima pilihan istana Johor.
“Di PAU, saya rasakan akan ada unsur-unsur menerima pelantikan menteri besar itu, dan terdapat rasa untuk move on untuk menerima pelantikan itu dan sama-sama bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan negeri yang lebih stabil demi negeri Johor,” katanya.
“[...] Bagi saya ia akan diterima oleh akar umbi sebagai salah satu rencah politik Malaysia dalam pelantikan menteri besar, bahkan ketua menteri atau perdana menteri sekalipun.
“Sebab itulah dikatakan ia akan dibincangkan (dalam PAU), tetapi secara berhemah, secara berkias,” katanya.
Pengundi juga, menurut Azmi, akan lebih bersikap memahami terhadap situasi berkenaan, lebih-lebih lagi Umno dilihat berusaha untuk menunaikan janji mereka hingga ke saat-saat terakhir semalam.
Kenyataan Shahrir juga, katanya, boleh ditafsirkan sebagai kekecewaan yang dizahirkan kepada situasi yang berlaku, bukannya menyalahkan kepemimpinan parti.
“Seperti yang saya katakan, ia bukanlah janji yang (sengaja) tidak ditunaikan, tetapi tidak dapat ditunaikan kerana ada mereka yang lebih berkuasa dalam hal ini,” katanya lagi.
PAU akan berlangsung bermula malam ini dengan perasmian persidangan tiga sayap Umno, sebelum menutup tirainya pada 19 Mac.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai